AHMEDABAD – Rahsia pembunuhan tiga wanita yang merupakan saudara kepada sepasang suami isteri di Ahmedabad, India akhirnya terbongkar selepas lebih empat tahun apabila polis menemui mayat salah seorang mangsa yang disembunyikan dalam tong biru berisi simen.
Polis menahan pasangan suami isteri, Madhavdas dan Urmila selepas siasatan mendapati mereka dipercayai terlibat dalam pembunuhan tiga saudara pada 2022.
Salah seorang mangsa, Shantaben Vasava, 70, dibunuh dengan mukanya ditekup menggunakan bantal sebelum jasadnya dimasukkan ke dalam tong biru berisi simen dan ditanam di halaman rumah.
Menurut polis, pasangan itu kemudian memberitahu saudara-mara bahawa Vasava telah meninggal dunia dan mayatnya dibawa terus dari hospital untuk dibakar ketika pandemik Covid-19.
Pembunuhan itu didedahkan secara tidak sengaja oleh Madhavdas yang membuat laporan polis dengan menuduh isterinya dan sepupunya terbabit dalam pembunuhan Vasava.
Bagaimanapun, keterangan Madhavdas didapati bercanggah dan siasatan lanjut membawa kepada pengakuannya berhubung kejadian itu.
Pihak berkuasa kemudiannya menggali halaman rumah berkenaan dan menemui tong biru yang mengandungi jasad Vasava.
Siasatan lanjut turut mendedahkan dua lagi pembunuhan melibatkan Manjulaben iaitu ibu Madhavdas yang lumpuh dan Bhagwati, adik Urmila yang menghidap tuberkulosis.
Kedua-dua wanita itu juga dipercayai dibunuh dengan cara menekup muka menggunakan bantal.
Polis telah memulakan proses undang-undang terhadap pasangan itu berhubung pembunuhan ketiga-tiga wanita tersebut. – Agensi



