ISTANBUL – Pakatan diketuai Arab Saudi di Yaman pada Khamis menyalahkan kumpulan Houthi atas serangan dron pada awal minggu ini ke atas sebuah stesen pengagihan tenaga elektrik di bandar Madinah, Arab Saudi, lapor Anadolu Ajansi.
Jurucakap pakatan itu Mejar Jeneral Turki al-Maliki berkata, serangan berkenaan menyasarkan stesen pengagihan tenaga elektrik Taibah pada 5.11 pagi waktu tempatan, Selasa.
Al-Maliki berkata, semakan operasi dan pemeriksaan terhadap serpihan dron itu mengesahkan penglibatan Houthi dalam merancang dan melaksanakan tindakan yang disifatkannya sebagai “tindakan pengganas yang pengecut”.
Serangan itu menyebabkan satu transformer tidak dapat beroperasi, namun tidak menjejaskan grid elektrik, katanya.
Al-Maliki berkata, kemudahan berkenaan membekalkan elektrik kepada Masjid Nabawi di Madinah.
Beliau menuduh Houthi sengaja menyasarkan infrastruktur awam dan cuba mencetuskan provokasi terhadap umat Islam dengan menyasarkan kota suci Makkah dan Madinah.
Al-Maliki berkata pakatan itu akan terus mengambil langkah bagi menghalang serangan Houthi serta melindungi dua masjid suci dan pengunjung ke Makkah dan Madinah.
Houthi menafikan penglibatan mereka dalam serangan itu.
Menurut Anadolu, sumber tentera di Kementerian Pertahanan yang dikendalikan Houthi memberitahu agensi berita Saba yang bersekutu dengan kumpulan itu bahawa tuduhan Arab Saudi bahawa kumpulan berkenaan menyasarkan sebuah stesen janakuasa di Madinah adalah “tidak berasas”.
Tuduhan terbaharu itu dibuat ketika berlaku beberapa siri serangan peluru berpandu dan dron ke atas Arab Saudi yang dikaitkan dengan Houthi.
Pada 16 September, Arab Saudi memaklumkan sistem pertahanan udaranya memintas dan memusnahkan sebuah dron Houthi di selatan Makkah sebelum dron itu memasuki ruang udara larangan kota suci berkenaan, tuduhan yang turut dinafikan kumpulan itu.
Bagaimanapun, Houthi mengaku bertanggungjawab terhadap beberapa serangan lain di Arab Saudi baru-baru ini, termasuk serangan yang menyasarkan kemudahan Saudi Aramco dan lokasi ketenteraan.- Bernama



