KANGAR: Pas Perlis yang berdepan krisis dalaman sehingga diletakkan dibawah pengawasan Jawatankuasa Tadbir Sementara (JTS) kini semakin baik dan sudah sedia menguruskan sendiri parti tidak lama lagi.
Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, sebahagian besar krisis sebelum ini sudah berjaya diselesaikan dengan baik dan harmoni dengan tumpuan kini ke arah memperkukuhkan gerak kerja parti.
Katanya, perbezaan pandangan dalam politik perkara biasa yang mematangkan pendirian serta tindakan ahli.
Memuatkan artikel berkaitan…
Beliau berkata, isu di Perlis sebelum ini mudah diuruskan berikutan kekuatan utama ahli Pas adalah bergantung kepada ketaatan atau prinsip ‘walak’ terhadap keputusan yang diputuskan oleh kepimpinan tertinggi parti.
“Apabila isu sudah reda dan semua mahu fokus kepada pilihan raya, mereka akhirnya akan kembali bersatu. Penyelesaian kemelut membolehkan jentera parti kembali menumpukan sepenuh fokus kepada gerak kerja dan persiapan menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
“Saya fikir sudah tidak lama lagi dah (menguruskan sendiri parti di Perlis) dan sekarang, kita minta supaya jentera parti mula fokus kepada persiapan PRU16.
“Saya nampak ‘mood’ akar umbi dan jentera parti di Perlis sangat baik dan kita boleh terus melangkah ke hadapan,” katanya ketika ditemui selepas mesyuarat Majlis Syura Ulama Pas di sini semalam.
Sejak Februari lalu, pentadbiran Pas Perlis diletakkan di bawah pengawasan JTS yang dipengerusikan Naib Presiden, Datuk Idris Ahmad.
Sementara itu, Tuan Ibrahim berkata, rundingan kerjasama antara Pas dan UMNO di negeri ini sekiranya berlaku akan diuruskan oleh jawatankuasa induk di peringkat Pusat.
“Sebenarnya kita ada jawatankuasa induk yang buat keputusan (dalam soal kerjasama) bukan di peringkat negeri.
“Jawatankuasa induk akan berbincang dengan peringkat negeri terlebih dahulu, tetapi keputusan muktamad adalah dari peringkat Pusat, bukan negeri,” katanya. – UTUSAN




