SHAH ALAM – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) perlu mempercepat transformasi ke arah angkatan bersepadu merentas domain bagi memastikan keupayaan pertahanan negara kekal relevan dalam berdepan ancaman keselamatan yang semakin kompleks.
Pengarah Program Sains Politik dan Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Terbuka Malaysia (OUM), Oo Cheng Keat berkata, hala tuju itu jelas melalui Kajian Separuh Penggal Kertas Putih Pertahanan (KSP KPP) yang menetapkan pembangunan ATM sebagai Joint Network Centric Integrated Multi Domain Force menjelang 2030.
Menurutnya, pendekatan berkenaan menunjukkan anjakan penting dalam cara negara membangunkan keupayaan pertahanan kerana peperangan moden tidak lagi bergantung kepada kekuatan aset fizikal semata-mata.
“Selain mencerminkan kesediaan ATM untuk beroperasi dalam semua domain meliputi darat, laut, udara, siber dan angkasa, langkah ini turut menjadi pemangkin untuk Malaysia bergerak seiring perkembangan ketenteraan moden.
“Peperangan dan isu pertahanan kontemporari semakin kompleks serta banyak dipengaruhi oleh jaringan maklumat dan integrasi teknologi berlapis,” katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.
KSP KPP yang dilancarkan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin pada 11 September 2025 merupakan dokumen strategik bagi memandu hala tuju pertahanan negara bagi tempoh 2026 hingga 2030 di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
Kementerian Pertahanan (MINDEF) dalam dokumen berkenaan menetapkan antara hala tuju utama ialah meneruskan pembangunan ATM sebagai ‘Joint Network Centric Integrated Multi Domain Force’, termasuk penggunaan kecerdasan buatan (AI) dan sistem tanpa pemandu.
Cheng Keat berkata, pemodenan aset juga perlu disokong pembangunan ekosistem pertahanan yang kukuh supaya perolehan teknologi baharu tidak sekadar meningkatkan inventori, sebaliknya membina keupayaan domestik.
Katanya, kerajaan turut memberi perhatian kepada aset dan sistem pertahanan baharu termasuk Multi Role Support Ship (MRSS), Medium Range Air Defence (MERAD) serta sistem pertahanan udara lain bagi menangani ancaman semasa.
“Bagi sebuah negara yang berada di laluan perdagangan dunia yang penting dan sibuk, ekosistem pertahanan perlu dibangunkan secara holistik dan strategik.
“Ia mesti merangkumi penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang mantap dan berterusan, integrasi, pensijilan, latihan serta sokongan kitar hayat aset,” katanya.
Beliau berkata, pendekatan itu penting bagi membolehkan Malaysia memperoleh aset baharu pada masa sama membina keupayaan teknologi domestik serta rantaian bekalan yang lebih berdaya tahan terhadap kejutan geopolitik dan pasaran.
Dalam konteks ini, katanya, pelaksanaan Dasar Industri Pertahanan Negara (DIPN) di bawah RMK13 perlu dimanfaatkan untuk memperkukuh industri pertahanan tempatan, meningkatkan kandungan tempatan dan memacu penyelidikan, pembangunan, pengkomersialan serta inovasi teknologi termaju.
“Manfaat Industrial Collaboration Program (ICP) juga wajar dimanfaatkan sepenuhnya supaya pemindahan teknologi kritikal benar-benar memberi nilai tambah kepada keperluan pertahanan negara.
“Transformasi hanya memberi nilai apabila modal insan bergerak seiring dengan perkembangan teknologi. Kita memerlukan jurutera sistem, saintis data, pakar AI dan keselamatan siber pada skala yang bersesuaian dengan keperluan operasi,” katanya.
Cheng Keat berkata, perkembangan aset seperti sistem pesawat tanpa pemandu (UAS) juga menunjukkan kepentingan teknologi dalam memperkukuh keupayaan pengawasan dan perisikan.
Pada Jun lalu, MINDEF mengumumkan pengoperasian rasmi UAS MALE ANKA-S No. 11 Skuadron di Pangkalan Udara Labuan bagi meningkatkan keupayaan pengawasan maritim menerusi misi perisikan, pengawasan dan peninjauan (ISR).
Tambah Cheng Keat, ATM juga perlu memperkukuh kerjasama dengan industri serta institusi penyelidikan dan pengajian tinggi bagi memastikan inovasi dapat diterjemahkan kepada keupayaan operasi sebenar.
“Angkatan tentera yang mempunyai keupayaan operasi merentas domain ini adalah satu langkah besar yang mesti menjadi agenda nasional dan fokus bersama semua pihak.
“Isu pertahanan sudah berkembang pada skala yang tidak pernah kita bayangkan sebelum ini. Ia bukan lagi mengenai senapang dan kereta kebal semata-mata, tetapi meliputi segenap aspek kehidupan merentas laut, udara, darat, siber dan angkasa,” katanya.



