suharmin.yusuf@hmetro.com.my
Rawang: Selepas melalui enam kali keguguran, pasangan suami isteri ini membuka hati untuk mengambil seorang bayi perempuan berketurunan Cina sebagai anak angkat.
Bayi yang dinamakan Nur Ain Nadira itu dijadikan anak angkat ketika usianya baru dua bulan tanpa pernah mempersoalkan latar bangsa atau keturunannya.
Berkongsi kisahnya, Siti Nor Farhanah A Rahim, 38, berkata, ketika ini Nur Ain Nadira sudah berusia dua tahun dua bulan dan menjadi penyeri buat keluarga kecilnya.
Menurutnya, dia dan suami, Muhammad Akmal Abd Kadir, 38, membuat keputusan untuk mengambil anak angkat pada 2024 dan Nur Ain diperoleh melalui OrphanCARE selepas bayi berkenaan ditinggalkan tanpa penjaga di sebuah hospital swasta di Ipoh.
“Pada saya tak kisah dia bangsa apa pun. Ketika itu saya cuma fikir dia tidak ada salah apa-apa.
“Saya memang ikhlas nak jaga, saya tak kisah dia bangsa apa sekalipun,” katanya kepada Harian Metro.
Menurutnya, berdasarkan maklumat yang ditinggalkan bersama bayi itu, ibu kandung Nur Ain berbangsa Indonesia, manakala bapanya berbangsa Cina.
Siti Nor Farhanah berkata, dia mula mempertimbangkan untuk mengambil anak angkat selepas melalui pengalaman keguguran kali keenam.
“Ketika saya buat keputusan untuk mengambil dia, masa itu saya baru keguguran yang keenam.
“Saya fikir, kenapa tidak kita ambil anak angkat? Tak salah pun untuk kita ambil sebab kita memang mahu (anak),” katanya.
Menurutnya, dia menghantar permohonan melalui OrphanCARE pada September 2024 sebelum menerima panggilan tawaran daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) pada bulan berikutnya.
Siti Nor Farhanah berkata, sebelum menerima Nur Ain, dia dan suami turut berbincang dengan keluarga mengenai keputusan berkenaan.
“Saya ada berbincang dengan keluarga. Saya cuma maklumkan bahawa selepas 10 tahun berkahwin, ini keputusan yang kami buat.
“Alhamdulillah, penerimaan keluarga bagus dan saya dapat jadikan Nur Ain sebagai anak susuan. Semua orang terima dengan baik,” katanya.
Katanya, sepanjang menjaga Nur Ain, dia melayani kanak-kanak itu seperti anak sendiri tanpa memikirkan perbezaan latar belakangnya dan hal lain.
“Malah, saya merasakan kehidupan saya dan suami lebih dipermudahkan selepas kehadiran Nur Ain dalam keluarga kami,” katanya.
Menurutnya, di awal pengambilan anak angkat, mereka dipantau pihak JKM sebelum proses pengangkatan diselesaikan mengikut prosedur yang ditetapkan.
Katanya, Nur Ain juga tidak mempunyai kewarganegaraan ketika ini dan urusan berkaitan kewarganegaraannya hanya boleh dimohon selepas genap tempoh dua tahun dalam jagaannya.
Lebih menyentuh hati, Siti Nor Farhanah kini sedang menanti kelahiran cahaya mata lelaki yang bakal menjadikan Nur Ain seorang kakak.
Dalam pada itu, katanya, dia juga berharap pasangan yang masih menanti zuriat supaya tidak mudah berputus asa, selain menyeru ibu yang tidak mampu menjaga anak mendapatkan bantuan daripada pihak berkaitan.
“Kalau ada ibu yang mengandung tetapi rasa tidak mampu menjaga anak, jangan buang anak. Banyak NGO (badan bukan kerajaan) sekarang yang boleh membantu.
“Bagi mereka yang masih menunggu zuriat, saya tahu ia bukan sesuatu yang mudah kerana setiap pasangan yang berkahwin pasti menginginkan anak sendiri.
“Tetapi kalau diberi peluang menjaga anak, sayangilah dia seperti anak sendiri. Insya-Allah, anak itu boleh menjadi pembuka rezeki,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




