MALBATT, aset pertahanan di Lubnan pulang berperingkat mulai Januari 2027

MALBATT, aset pertahanan di Lubnan pulang berperingkat mulai Januari 2027

am@hmetro.com.my

Kota Tinggi: Penghantaran pulang aset serta seluruh anggota Pasukan Batalion Malaysia (MALBATT) di Lubnan akan dilaksanakan secara berperingkat bermula Januari depan.

Ia susulan berakhirnya mandat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Lubnan yang dilaksanakan menerusi Pasukan Interim PBB di Lubnan (UNIFIL), berakhir pada 31 Disember 2026

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, aset fizikal dan peralatan ketenteraan MALBATT akan mula dibawa pulang menggunakan laluan laut bermula 17 Januari depan, manakala pergerakan pulang anggota pengaman dijalankan menerusi beberapa penerbangan berasingan bermula awal Januari.

“Kita sedia maklum kehadiran tentera Malaysia di Lubnan bermula daripada 2007, pada mulanya pada skala yang kecil, kemudian dalam 2013, kita mendapat kelulusan daripada pihak PBB untuk meningkatkan kehadiran kita kepada satu batalion.

“Mandat Misi PBB di Lubnan (menerusi UNIFIL) bagi semua batalion akan berakhir Disember ini. Pasukan kita akan mula pulang pada Januari mengikut beberapa penerbangan, manakala pengangkutan aset menggunakan kapal bermula 17 Januari,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Asrama Anak-Anak Yatim Islam Kota Tinggi di Asrama Anak-Anak Yatim Islam di sini, hari ini.

Mohamed Khaled berkata demikian ketika ditanya hasil lawatan beliau ke Lubnan baru-baru ini.

Pada masa sama, Ahli Parlimen Kota Tinggi itu meluahkan rasa bangga terhadap komitmen tinggi yang ditunjukkan anggota MALBATT sepanjang tempoh 20 tahun kehadiran tentera Malaysia di sana, termasuk 13 tahun berkhidmat sebagai sebuah batalion penuh.

Menurutnya, selain menggalas tanggungjawab kawalan keselamatan, keprihatinan tentera Malaysia menyantuni masyarakat tempatan mewujudkan ikatan perhubungan yang amat rapat dengan masyarakat di sana.

Mengulas mengenai situasi semasa di negara itu, Mohamed Khaled memberitahu beliau sempat mengadakan pertemuan dengan Menteri Pertahanan Lubnan bagi membincangkan perkembangan ketenteraan dan keselamatan terkini.

“Menteri Pertahanan Lubnan menyatakan keadaan di sana masih belum aman dan terdedah kepada pelbagai ancaman. Mereka kini berusaha meminta PBB memikirkan pendekatan atau kaedah alternatif supaya kedamaian di Lubnan, terutamanya di bahagian selatan dapat diteruskan.

“Kita menyatakan kesediaan untuk kembali terbabit sekiranya PBB memutuskan untuk menubuhkan pasukan baharu, namun ia tertakluk sepenuhnya kepada keputusan dan mandat mereka, tetapi kita bersedia untuk terbabit,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top