Perodua QV-E serlah elemen gaya dan prestasi untuk mobiliti

Perodua QV-E serlah elemen gaya dan prestasi untuk mobiliti

lizamridzuan@hmetro.com.my

Sejak dilancarkan, bukan sedikit perhatian diberikan kepada Perodua QV-E, khususnya apabila ia hadir dengan pendekatan pemilikan bateri menerusi Battery-as-a-Service (BaaS). Perdebatan mengenai harga, pemilikan bateri dan komitmen bulanan mungkin menjadi tumpuan, namun persoalannya, bagaimana sebenarnya QV-E apabila dipandu?

Justeru, Vroom baru-baru ini berpeluang memandu uji Perodua QV-E, model kenderaan elektrik (EV) pertama keluaran Perodua, bagi melihat sendiri kemampuan daripada aspek reka bentuk, keselesaan, prestasi, pengendalian dan jarak perjalanan.

Dari luaran, QV-E membawa pendekatan berbeza daripada model Perodua sebelum ini. Reka bentuk hadapan tampil moden dengan lampu yang tajam, manakala profil sisi memperlihatkan pendekatan crossover bergaya coupe menerusi garis bumbung yang melandai ke belakang.

Pemegang pintu belakang yang disepadukan secara tersembunyi pada tiang C turut menguatkan imej berkenaan selain rekaan lampu belakang yang moden pula melengkapkan penampilannya yang lebih sporty dan dinamik.

Masuk ke kabin, pendekatan minimalis lebih menyerlah dengan dua paparan 10.25 inci untuk meter instrumen digital dan sistem infotainmen.

Cermin pandang belakang digital turut menambah elemen teknologi, manakala tempat duduk pemandu dengan pelarasan elektrik enam arah memberikan posisi pemanduan yang mudah disesuaikan.

Ruang belakang lebih sesuai untuk dua penumpang dewasa bagi perjalanan jauh, terutama dengan garis bumbung yang lebih rendah. Namun, ruang yang ditawarkan masih memadai untuk kegunaan keluarga kecil.

Daripada segi prestasi, motor elektrik Permanent Magnet Synchronous Motor menghasilkan 204 PS dan 285 Nm, dengan kuasa disalurkan ke roda hadapan.

Karakternya mula terserlah apabila pedal pemecut ditekan, dengan kuasa yang terasa bertenaga ketika keluar dari selekoh atau melakukan pintasan di lebuh raya.

Pengendalian juga antara aspek yang menarik ketika dipandu. Stereng terasa tepat dan tindak balas QV-E ketika menukar arah kekal terkawal, termasuk ketika melalui laluan berselekoh.

Kedudukan pek bateri pada bahagian bawah badan turut menyumbang kepada karakter pemanduan yang lebih stabil. Ketika mengambil selekoh, olengan badan masih terkawal dan memberikan keyakinan kepada pemandu.

QV-E menggunakan sistem suspensi MacPherson strut di hadapan dan torsion beam di belakang. Walaupun menggunakan susunan yang agak ringkas, talaan suspensinya memberikan keseimbangan antara keselesaan dan kawalan, terutama ketika melalui permukaan jalan yang tidak sempurna.

Untuk jarak perjalanan, QV-E menggunakan bateri Lithium Iron Phosphate (LFP) 52.5 kWj dengan jarak sehingga 445 kilometer berdasarkan NEDC. Dalam penggunaan sebenar, jarak bergantung kepada gaya pemanduan, kelajuan, penggunaan pendingin hawa dan keadaan jalan.

Dengan jarak berkenaan, QV-E sesuai untuk kegunaan harian termasuk perjalanan bandar dan antara negeri, namun perancangan pengecasan tetap penting bagi perjalanan lebih jauh.

Bagi harga, QV-E ditawarkan pada RM63,499 dengan BaaS, manakala pemilikan penuh termasuk bateri ialah RM87,499. Menerusi rebat promosi semasa, harga efektif masing-masing boleh menjadi RM53,499 dan RM77,499, tertakluk kepada terma serta tempoh promosi.

Secara keseluruhan, QV-E menunjukkan usaha Perodua menghasilkan EV yang bukan sekadar praktikal, tetapi turut mempunyai karakter pemanduan tersendiri. Persoalan BaaS mungkin terus menjadi perbincangan, namun selepas memandunyat, QV-E jelas mempunyai lebih banyak cerita untuk dikongsi selain harga dan pakej baterinya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top