Verstappen ungguli saingan di Sepang

Verstappen ungguli saingan di Sepang

SEPANG: Pelumba Red Bull Racing, Max Verstappen menjuarai Grand Prix (GP) Formula Satu (F1) Bahrain selepas mempamerkan persembahan dominan sejak daripada sesi latihan bebas di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), hari ini.

Pemandu berasal dari Belanda itu melakar masa terpantas 1 jam 47 minit 14.808 saat (s) dalam perlumbaan 55 pusingan tersebut.

Pendahulu Kejuaraan Dunia F1, Kimi Antonelli dari pasukan Mercedes AMG Petronas pula melengkapkan aksinya di kedudukan kedua (+2.307s), manakala, juara dunia tujuh kali, Lewis Hamilton (+4.919s) dari pasukan Ferrari di tempat ketiga.

Memuatkan artikel berkaitan…

Juara dunia tujuh kali, Hamilton berkata, pasukannya membuat keputusan yang salah pada peringkat awal perlumbaan apabila memilih tayar lembut, namun, dia tidak berputus asa untuk mengejar kedudukan sehingga akhirnya berjaya menaiki podium.

“Kami membuat keputusan yang salah pada awal perlumbaan dan ia sangat sukar. Saya dapat melihat semua orang semakin jauh meninggalkan kami dan ketika melihat skrin, kami ketinggalan seminit. Saya fikir perlumbaan sudah berakhir buat kami.

“Tetapi saya terus fokus. Pasukan melakukan kerja hebat ketika pit stop. Kami melakukan banyak pertukaran tayar, banyak mengejar dan akhirnya berjaya,” katanya sewaktu ditemu bual selepas perlumbaan berakhir di sini, hari ini.

Hamilton turut menyifatkan perlumbaan di Sepang itu sebagai antara pengalaman terbaiknya sepanjang beraksi di Malaysia, khususnya kerana sokongan padu peminat.

“Daripada semua tahun saya berada di sini, ini perlumbaan terbaik yang pernah kami lalui, terutama kerana sokongan penonton. Terima kasih banyak kepada semua,” ujarnya.

Berakhirnya GP Bahrain, Antonelli semakin mengukuhkan cengkaman di kedudukan teratas Kejuaraan Dunia F1 setelah mengumpul 320 mata, manakala, rakan sepasukannya, George Russell menghuni tempat kedua dengan 236 mata.

Hamilton pula berada di tempat ketiga dengan 214 mata, semantara rakan sepasukannya, Charles Leclerc mengutip 191 mata. – UTUSAN

Scroll to Top