Penyelamat bingung, anjing 'hidup semula' ketika dibawa untuk dikebumikan

Penyelamat bingung, anjing 'hidup semula' ketika dibawa untuk dikebumikan

Kamphaeng Phet: Disangka sudah mati dan dibalut kain putih untuk dikebumikan, seekor anjing jantan mengejutkan pasukan penyelamat apabila tiba-tiba bangun selepas diletakkan di atas lori mereka, lapor portal Khaosod.

Kejadian pelik itu dirakam dan tular di media sosial sehingga meraih lebih empat juta tontonan dalam tempoh semalaman dengan rata-rata warga maya terhibur dengan insiden itu.

Pengguna Facebook, Namta Khon Lew, memuat naik video itu dengan kapsyen: “Tolong! Kejadian menakutkan pada siang hari. Penyelamat dihantui anjing hantu.”

Insiden lucu itu bermula apabila Persatuan Penyelamat Kamphaeng Phet Khao Phap menerima panggilan daripada seorang penduduk tempatan untuk mengambil apa yang kelihatan seperti bangkai anjing sebelum meminta mengebumikannya.

Pada Ahad, sukarelawan Persatuan Penyelamat Kamphaeng Phet Khao Phap, Theera Phuengphat, 53, berkongsi kejadian berkenaan ketika ditemui di pejabat persatuan itu di daerah Nakhon Chum, daerah Mueang.

Theera berkata kejadian itu berlaku kira-kira jam 2.30 petang di Moo 1, di belakang Universiti Rajabhat Kamphaeng Phet.

Seorang penduduk meminta pasukan penyelamat mengambil anjing jantan yang terbaring tidak bergerak di hadapan sebuah rumah dan kelihatan seperti sudah mati.

Sukarelawan membalut anjing itu dengan kain putih dan membawanya ke pejabat mereka dengan niat untuk mengebumikannya.

Kira-kira lima minit selepas anjing itu diletakkan di atas kenderaan, ia tiba-tiba hidup semula menyebabkan pasukan penyelamat terpaksa memberhentikan kenderaan dan menurunkan anjing berkenaan sebelum ia terus berlari pergi.

Kejadian itu kemudian dimuat naik ke internet dan dengan pantas meraih jutaan tontonan serta komen.

Theera berkata pengalaman pelik itu menyebabkan pasukan penyelamat kebingungan dan ia kes pertama seumpamanya yang pernah mereka hadapi.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top