AKPS sita 637 tan biji koko dari Uganda bernilai RM11.9 juta

AKPS sita 637 tan biji koko dari Uganda bernilai RM11.9 juta

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) menyita 637 tan biji koko bernilai hampir RM11.9 juta yang cuba dibawa masuk ke negara ini menerusi sebuah kontena di Pelabuhan Pasir Gudang, Johor, kelmarin.

AKPS dalam kenyataan berkata, dagangan tanaman industri itu dikesan ketika pemeriksaan oleh pegawai penguat kuasanya jam 3.50 petang.

Menurutnya, pemeriksaan mendapati kontena berkenaan mengandungi 637,000 kilogram biji koko yang dibungkus dalam 9,100 guni dan dibawa masuk dari Uganda.

“Jumlah anggaran keseluruhan barangan itu sekitar RM11,886,444.72.

“Barangan ini didapati dibawa masuk dengan dokumen yang tidak lengkap dan mencurigakan. Oleh itu, semua barangan dagangan ini ditahan untuk siasatan lanjut,” katanya.

AKPS berkata, sebarang perbuatan atau cubaan mengisytiharkan maklumat bercanggah di pintu masuk negara adalah kesalahan mengikut Seksyen 13 Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011.

Katanya, sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya.

“Bagi kesalahan kedua atau berikutnya, pesalah boleh didenda tidak melebihi RM75,000 atau dipenjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya.

“AKPS memandang serius perkara ini dan akan terus menjalankan penguatkuasaan di pintu masuk bagi menjamin keselamatan keluaran pertanian serta pematuhan syarat dan peraturan yang ditetapkan kerajaan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top