Kuala Lumpur: Tunggakan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kini mencecah RM10.7 bilion membabitkan 1.16 juta peminjam setakat 31 Ogos lalu.
Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), memaklumkan perbadanan itu sedang mengambil pelbagai langkah bagi memastikan kelestarian jangka panjang model pembiayaannya, termasuk memperkukuh pengurusan pinjaman serta menambah baik kutipan bayaran balik.
Kementerian itu berkata, terma dan syarat pinjaman akan diperhalusi bagi memastikan pembiayaan disalurkan secara lebih bersasar kepada golongan yang memerlukan berdasarkan kemampuan kewangan PTPTN.
“PTPTN juga akan meningkatkan keberkesanan dan kecekapan kutipan bayaran balik pinjaman melalui langkah penguatkuasaan serta kerjasama strategik dengan agensi kerajaan dan syarikat korporat,” katanya menerusi jawapan bertulis di Parlimen hari ini.
KPT menjawab pertanyaan Datuk Seri Jalaluddin Alias (BN-Jelebu) mengenai jumlah terkini hutang peminjam PTPTN serta langkah yang diambil bagi menambah baik bayaran balik pinjaman.
Kementerian itu bagaimanapun menegaskan, pihaknya sentiasa prihatin terhadap kebajikan peminjam yang benar-benar berdepan kesukaran untuk melunaskan pinjaman mereka.
Justeru, peminjam dalam kategori terbabit digalakkan supaya tampil berunding untuk menstruktur semula jadual bayaran balik mengikut kemampuan kewangan masing-masing atau memohon penangguhan bayaran tertakluk kepada fleksibiliti yang dibenarkan oleh PTPTN.
© New Straits Times Press (M) Bhd




