am@hmetro.com.my
Johor Bahru: Polis mengesahkan tiada unsur jenayah dikesan dalam kejadian 10 kenderaan yang terbakar di parkir tingkat bawah di sebuah pusat beli belah di sini, di Jalan Wong Ah Fook, hari ini.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner, Azrul Hisham Mohd Shaffei berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian jam 3.45 petang.
“Hasil temu bual awal dengan pihak bomba mendapati tiada unsur jenayah dikesan berhubung kejadian berkenaan.
“Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih belum dapat dipastikan dan siasatan lanjut sedang dijalankan oleh pihak forensik bomba,” katanya dalam kenyataan, malam ini.
Azrul Hisham berkata, kebakaran berjaya dikawal sepenuhnya oleh pihak bomba kira-kira jam 9 malam dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
Beliau berkata, lapan daripada kenderaan terbabit rosak kira-kira 80 peratus, manakala dua lagi kerosakan 30 peratus.
“Polis turut menjalankan pemantauan di lokasi bagi memastikan keadaan keselamatan terkawal,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan sebanyak 10 kenderaan di kawasan parkir bawah tanah bangunan pusat beli belah berkenaan.
Kejadian turut menyebabkan tiga wanita mengalami sesak nafas, manakala seorang lelaki dewasa dilaporkan selamat.
© New Straits Times Press (M) Bhd




