Peniaga 'online' didakwa 7 pertuduhan buat hantaran jelik ganggu wanita

Peniaga 'online' didakwa 7 pertuduhan buat hantaran jelik ganggu wanita

am@hmetro.com.my

Melaka: Ibu tunggal yang juga peniaga dalam talian didakwa di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, di sini hari ini, atas tujuh pertuduhan membuat penghantaran komunikasi jelik menggunakan aplikasi TikTok pada Jun lalu.

Tertuduh, V T Pavithra, 33, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan mengikut Seksyen 233(1) Akta Komunikasi dan Multimedia (AKMM) 1998 yang dibacakan terhadapnya dalam prosiding berasingan di hadapan Hakim, Raja Noor Adilla Raja Mahyaldin dan Rohatul Akmar Abdullah.

Mengikut empat pertuduhan di hadapan Raja Noor Adillah, tertuduh didapati menggunakan perkhidmatan aplikasi TikTok, secara sedar membuat penghantaran komunikasi yang jelik dengan niat untuk menyakitkan hati dan mengganggu seorang wanita berusia 37 tahun.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah bernombor di Jalan Melaka Raya 13, Taman Melaka Raya pada 17 Jun lalu jam 5.55 petang; 22 Jun kira-kira 9.30 malam, 24 Jun 10.58 malam dan 27 Jun pada jam 10.18 malam.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 233 (1) AKMM 1998 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) akta sama.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga satu tahun atau kedua-duanya, dan denda RM1,000 bagi setiap hari kesalahan diteruskan selepas pensabitan.

Di hadapan Rohatul Akmar, tertuduh berdepan tiga pertuduhan seksyen sama iaitu membuat penghantaran komunikasi yang jelik dengan niat untuk menyakitkan hati dan mengganggu penama sama pada 27 Jun lalu jam 6.53 petang, 7.58 malam dan 10.03 malam.

Pendakwaan kes dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Qaiyyum Ramlan sementara tertuduh diwakili peguam JM Mark.

Mahkamah membenarkan jaminan keseluruhan RM12,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan tertuduh dikehendaki melaporkan diri di balai polis berhampiran setiap bulan dan tidak mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan lain.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top