Abang maut, adik OKU cedera nahas 3 motosikal

Abang maut, adik OKU cedera nahas 3 motosikal

am@hmetro.com.my

Kuala Nerus: Seorang maut manakala tiga lagi cedera dalam kemalangan membabitkan tiga motosikal di Jalan Sungai Buaya, Kampung Batin, Seberang Takir, di sini, hari ini.

Dalam kejadian jam 5.10 petang itu, mangsa yang maut dikenali sebagai Ahmad Areesy Zafreen Ahmad Azhar, 16, yang juga pelajar tingkatan empat sebuah sekolah menengah di sini.

Tiga mangsa yang cedera adalah kanak-kanak perempuan orang kurang upaya (OKU) berusia 12 tahun yang juga adik kepada Ahmad Areesy Zafreen, wanita berusia 57 tahun dan remaja lelaki berusia 18 tahun.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, kemalangan membabitkan motosikal Modenas Kriss ditunggang Ahmad Areesy Zafreen, sebuah Honda EX5 ditunggang remaja lelaki tahun dan motosikal Honda NSC ditunggang seorang wanita.

“Siasatan awal mendapati motosikal ditunggang mangsa dari Kampung Batin menghala ke Seberang Takir dipercayai memotong sebuah kenderaan lain sebelum bergesel dengan motosikal Honda EX5 yang datang dari arah bertentangan.

“Akibat kemalangan itu, motosikal Honda EX5 kemudian dilanggar oleh penunggang motosikal Honda NSC yang datang dari arah sama,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Azli berkata, kemalangan menyebabkan mangsa, Ahmad Aeeesy Zafreen meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah di kepala.

“Adik mangsa yang juga pembonceng juga mengalami kecederaan dan kini dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).

“Dua lagi mangsa cedera dirawat di hospital sama,” katanya.

Tambahnya, mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik HSNZ untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top