Ice-Watch Night Run kembali lagi, berteraskan gaya hidup sihat

Ice-Watch Night Run kembali lagi, berteraskan gaya hidup sihat

asmaini@mediaprima.com.my

Selepas lebih sedekad menyatukan komuniti menerusi larian, Ice-Watch Night Run kembali lagi menerusi penganjuran Color The Night Run 2026, yang bakal diadakan pada 28 November ini.

Acara yang akan diadakan di IOI City Mall, Putrajaya itu bakal membawa nafas baharu kepada penganjuran acara larian malam menerusi gabungan aktiviti larian, hiburan dan elemen gaya hidup.

Malah acara anjuran Time Zone Sdn Bhd dengan sokongan HABIB Group dan Two Tropics Coffee itu menyediakan dua kategori larian sejauh 5 kilometer (km) dan 10km.

Pemilik Ice-Watch Malaysia dan Time Zone Sdn Bhd, Datuk Seri Meer Habib berkata, sepanjang 10 tahun penganjurannya, ia bukan sekadar menjadi acara larian, malah berkembang sebagai platform yang menghimpunkan pelari, keluarga, pihak media dan rakan kerjasama dalam suasana yang penuh meriah.

Katanya, sebanyak 4,000 pendaftaran awal sudah diterima sekali gus menunjukkan sambutan menggalakkan terhadap acara larian berkenaan.

“Peningkatan penyertaan itu turut mencerminkan penerimaan masyarakat terhadap konsep larian yang lebih santai, berorientasikan keluarga dan tidak terlalu kompetitif.

“Larian ini bukan mengenai persaingan kerana kami mahu apabila datang, peserta berseronok sambil mempromosikan gaya hidup sihat serta menikmati pengalaman yang menggabungkan semangat larian, warna dan kebersamaan.

“Ini kerana kebanyakan peserta juga adalah keluargan dan kawan-kawan yang melakukan aktiviti menyeronokkan bersama,” katanya ketika pada sidang media Color The Night Run 2026 di IOI Mall Putrajaya, baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Meer berkata, pihaknya juga tidak bercadang menjadikan larian itu sebagai acara yang terlalu kompetitif, termasuk mengembangkan konsep berkenaan kepada larian separuh maraton.

Ini kerana fokus utama jenama berkenaan adalah untuk menggalakkan orang ramai mengamalkan gaya hidup aktif dan sihat menerusi aktiviti yang menyeronokkan.

Dalam pada itu, Meer berkata, selepas sedekad berada di pasaran, jenama jam tangan Ice-Watch di Malaysia terus menunjukkan perkembangan positif, didorong identiti berwarna-warni serta pendekatan yang lebih dekat dengan gaya hidup pengguna.

Sementara itu, sempena ulang tahun penganjuran acara berkenaan, jenama itu turut memperkenalkan dua koleksi baharu iaitu Ice Forever dan Ice Smart Forever 2.0.

Dua koleksi ini menggabungkan reka bentuk kontemporari, gaya peribadi serta semangat dinamik yang mencerminkan gaya hidup masa kini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top