PASIR PUTEH: Kementerian Dalam Negeri (KDN) merampas sebanyak 22,002 naskhah al-Quran tanpa perakuan, rosak dan lusuh menerusi 350 Program Jom Exchange al-Quran (Jeq) di seluruh negara sepanjang tahun ini.
Memuatkan artikel berkaitan…
Timbalan Setiausaha Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan KDN, Shafril Azmi Shaharin berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 7,311 naskhah didapati tiada perakuan KDN manakala 14,691 lagi adalah naskhah yang rosak atau lusuh.
Katanya, pencapaian itu membuktikan komitmen berterusan KDN dalam memastikan naskhah al-Quran dikendali dan dilupuskan mengikut hukum syarak serta undang-undang ditetapkan.
“Program Jeq bukan sahaja menjadi medium pendidikan dan kesedaran kepada masyarakat mengenai kepentingan menggunakan naskhah al-Quran yang mempunyai perakuan KDN tetapi turut menyediakan platform untuk orang ramai menukar naskhah lama atau rosak dengan naskhah baharu yang diluluskan Lembaga Pengawalan dan Pelesenan Pencetakan al-Quran (LPPPQ) KDN.
“Sebanyak 2.5 tan metrik abu al-Quran diproses di Kelantan untuk tujuan pelupusan melalui inisiatif berkenaan. Abu itu dilupuskan mengikut ketetapan hukum syarak sebagai sebahagian daripada usaha memastikan al-Quran yang rosak, tidak lengkap atau tidak mempunyai perakuan sah dikendalikan secara tertib dan penuh penghormatan,” katanya selepas Program Pemurnian Abu al-Quran 2026 di Perairan Tok Bali di sini, hari ini.
Program tersebut adalah kerjasama Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan KDN Kelantan bersama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia Negeri Kelantan.
Shafril Azmi berkata, orang ramai, pengimport, penerbit dan penjual diingatkan supaya mematuhi Akta Pencetakan Teks Al-Quran 1986.
Katanya, semua pihak menyemak pelekat hologram KDN selain cop kelulusan LPPPQ pada setiap naskhah al-Quran sebelum membeli bagi memastikan kitab suci itu mempunyai perakuan dan kelulusan yang sah.
“KDN tidak akan berkompromi terhadap sebarang aktiviti penjualan atau pengedaran al-Quran tanpa perakuan sekali gus boleh mengelirukan umat Islam,” ujarnya. – UTUSAN




