PETALING JAYA: : Perkhidmatan Aerotrain di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) akan dihentikan sementara antara pukul 12 tengah malam hingga 5 pagi bermula esok hingga 17 Oktober bagi membolehkan kerja kemas kini perisian berjadual dilaksanakan.
Memuatkan artikel berkaitan…
Malaysia Airports dalam kenyataan berkata, kerja berkenaan adalah sebahagian daripada usaha memperkukuh operasi sistem dan menyokong prestasi jangka panjang Aerotrain selepas berjaya melengkapkan 20,000 jam operasi berterusan.
“Sepanjang tempoh berkenaan, perkhidmatan Aerotrain akan dihentikan pada waktu kejuruteraan standard luar waktu puncak bagi meminimumkan gangguan kepada penumpang.
“Sebagai alternatif, perkhidmatan bas sepenuhnya akan disediakan bagi memastikan kelancaran pergerakan penumpang antara Terminal Utama dan Bangunan Satelit sepanjang tempoh kerja berkenaan,” katanya.
Menurut kenyataan itu lagi, penumpang yang menggunakan perkhidmatan lapangan terbang pada waktu berkenaan dinasihatkan mengikuti papan tanda yang ditetapkan menuju ke ruang menunggu bas untuk mendapatkan perkhidmatan pemindahan.
“Penumpang juga boleh mendapatkan bantuan daripada petugas darat KLIA sekiranya memerlukan panduan.
“Fasa pertama kemas kini iaitu Ujian Lapangan, dijadualkan dari 8 hingga 17 Oktober membabitkan pemasangan serta pengujian perisian dalam keadaan operasi sebenar bagi mengesahkan prestasi serta fungsinya,” jelasnya.
Ujian berkenaan turut disusuli penilaian keselamatan bebas secara menyeluruh sebelum perisian yang dikemas kini digunakan secara kekal.
Tertakluk kepada hasil penilaian itu, fasa Pelaksanaan (Roll Out) akan dijalankan dari 28 November hingga 1 Disember ini, sebelum perisian berkenaan digunakan secara kekal pada sistem Aerotrain.
Sejak Pelan Tindakan Komprehensif diselesaikan pada Jun lalu, sistem Aerotrain mengekalkan tahap ketersediaan sebanyak 99.9 peratus.
Dalam tempoh satu setengah tahun lalu, Aerotrain turut melengkapkan 167,481 perjalanan pergi balik dan membawa kira-kira 23.55 juta penumpang.
Ketua Pegawai Operasi KLIA, Adam Nicholas Wilson, berkata keutamaan pihaknya adalah memastikan Aerotrain terus menyediakan perkhidmatan yang boleh dipercayai dan lancar kepada penumpang.
“Aktiviti yang dirancang seperti kemas kini perisian ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan kami untuk mengekalkan tahap prestasi ini serta menyokong kebolehpercayaan sistem dalam jangka panjang,” katanya.-UTUSAN




