kartika@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) semakin menghampiri fasa operasi apabila perjalanan antara Stesen ECRL Terminal Bersepadu Gombak dan Stesen ECRL KotaSAS, Pahang dapat diselesaikan dalam tempoh kira-kira 85 minit.
Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL), Datuk Seri Darwis Abdul Razak berkata, catatan berkenaan direkodkan menerusi perjalanan dua hala menggunakan Comprehensive Inspection Train (CIT) ECRL, menunjukkan perkembangan positif dalam aspek pengujian sistem dan kesiapsiagaan projek berkenaan.
Katanya, catatan perjalanan berkenaan merupakan perkembangan positif ketika ECRL memasuki fasa kritikal peralihan daripada pembinaan kepada operasi.
“Catatan perjalanan 85 minit dari Gombak ke KotaSAS satu perkembangan yang sangat positif. Pada masa sama, ahli lembaga berpeluang melihat dan merasai sendiri prestasi ECRL sambil melaksanakan tanggungjawab mereka dari sudut kewangan, teknikal, audit, risiko dan tadbir urus,” katanya dalam satu kenyataan.
Darwis berkata, perjalanan itu turut memberi peluang kepada dua Jawatankuasa Lembaga Pengarah MRL iaitu Jawatankuasa Kewangan dan Teknikal serta Jawatankuasa Audit, Risiko dan Tadbir Urus Lembaga, untuk menilai sendiri prestasi sistem dalam keadaan operasi sebenar.
Kedua-dua jawatankuasa berkenaan mengadakan mesyuarat masing-masing di dalam tren sepanjang perjalanan dari Gombak ke KotaSAS dan perjalanan pulang yang turut mengambil masa kira-kira 85 minit.
Darwis berkata, kesiapsiagaan ECRL bukan hanya bergantung kepada kelajuan atau tempoh perjalanan, sebaliknya turut merangkumi aspek keselamatan, kebolehpercayaan dan keupayaan keseluruhan sistem untuk menyediakan perkhidmatan kepada rakyat.
“Ini penting kerana kita kini berada pada fasa kritikal peralihan daripada pembinaan kepada operasi. Fokus kita bukan semata-mata kepada kelajuan atau masa perjalanan, tetapi memastikan keseluruhan sistem selamat, boleh dipercayai dan benar-benar bersedia untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat,” katanya.
MRL akan terus mempergiatkan proses pengujian dan pentauliahan serta persediaan operasi bagi memastikan keseluruhan sistem ECRL memenuhi keperluan keselamatan, teknikal dan kawal selia sebelum perkhidmatan dibuka kepada orang ramai.
Perjalanan ahli lembaga di dalam CIT itu juga mencerminkan pendekatan MRL untuk meningkatkan pemantauan secara langsung di lapangan, khususnya ketika projek berkenaan menghampiri fasa pengoperasian.
© New Straits Times Press (M) Bhd




