am@hmetro.com.my
Selepas dua dekad menghambakan diri dalam industri muzik, penyanyi terkenal, Faizal Tahir, 48, mengakui pernah terfikir mahu memperlahankan langkah sekali gus bersara dari bidang seni.
Namun, pada malam Konsert Faizal Tahir : Suara Rakyat di Unifi Arena, Bukit Jalil malam Sabtu lalu pula menunjukkan sebaliknya.
Malam konsert skala besar Faizal itu menyaksikan seramai 10,000 penonton masih berdiri teguh dan memberi sokongan padu buatnya.
Malam yang pada awalnya meraikan 20 tahun perjalanan seni Faizal, akhirnya berubah menjadi sesuatu yang lebih peribadi mengenai hubungan erat seorang penghibur bersama pengikut setianya.
Dalam ucapannya, Faizal meluahkan rasa syukur dengan rezeki dalam bidang muzik yang dikurniakan Allah SWT buatnya dan keluarga.
“Sebenarnya, tak cukup buat saya nak mengucapkan syukur kepada Allah SWT di atas segala nikmat dan rezeki yang dikurniakan kepada saya dan keluarga.
“Tanpa sokongan padu daripada semua selama tempoh 20 tahun pembabitan saya dalam industri muzik ini, ia bukanlah satu perjalanan yang sangat mudah.
“Berfikir nak bersara itu sudah banyak kali kerana saya juga sebenarnya sudah tak larat. Tapi ada saja orang yang tak bagi saya bersara,” kata bapa kepada tujuh cahaya mata itu.
Pada masa sama, Faizal turut menzahirkan penghargaan buat penganjur Hitmans Solution yang merealisasikan impiannya untuk konsert itu.
“Kalau nak ikutkan, saya memang susah sangat nak buat konsert. Tapi mereka (penganjur) yang bertanggungjawab dan tampil dengan idea untuk buat konsert Suara Rakyat.
“Beliau kata, suka sangat dengan tema konsert ini sebab sekarang ini susah nak jumpa orang yang buat lagu-lagu yang ada semangat kenegaraan,” katanya.
‘Reunion’ bersama Mirwana
Meskipun sudah berjaya sebagai penyanyi solo, Faizal tidak pernah melupakan karier awalnya ketika bersama kumpulan nasyid Mirwana dulu.
Menurutnya, Mirwana adalah satu kumpulan yang sudah bersama-sama sepanjang perjalanan karier seninya.
“Mereka banyak bagi peluang kepada saya dulu. Hari ini, saya berpeluang pula untuk mengundang mereka sebagai artis jemputan konsert.
“Apa yang saya nak mereka dan semua tahu, kita jangan pernah lupa kepada orang-orang yang pernah bersama dengan kita.
“Kadang-kadang bila kita sudah berada di atas, kita lupa nak pandang di bawah dan itu perkara yang bahaya,” katanya.
Bersama Mirwana, Faizal menyampaikan dua lagu berjudul Aku Tanpa Cintamu dan Biar Satu Dunia Tahu.
Selain Mirwana, kemunculan maestro muzik, Datuk M Nasir yang juga idola Faizal sebagai kejutan menerusi lagu duet Campak Bintang turut mencuri tumpuan.
Faizal turut mengundang pencipta lagu yang juga anak muda dari Sarawak iaitu Darien Sebastian yang bersama dengannya mencipta lagu Aku Berjanji yang dijadikan lagu tema Hari Kebangsaan tahun ini.
Dalam pada itu, Faizal turut menyelitkan mesej kemanusiaan kepada Rakyat Palestin menerusi persembahan itu.
“Jangan kita lupakan saudara kita yang sentiasa berada dalam keadaan tertindas di Palestin, di mana-mana sahaja di dunia ini, atas dasar kemanusiaan.
“Jadi, kalau penindasan ini berlaku di mana-mana sahaja pun, kita akan sentiasa memberi sokongan. Tidak kira negara mana, agama dan bangsa apapun kerana itu yang diajar agama kita. Nabi Muhammad SAW juga mengajar kita untuk sentiasa melawan mereka yang menindas dan yang zalim,” katanya.
Tambah Faizal, dia juga mahu menggunakan platform konsert itu dengan menyampaikan lagu untuk kita terus mengingatkan rakyat Palestin.
“Insya-Allah, dalam pada kita berseronok, Allah bagi kita peluang untuk bersama-sama mengingati mereka,” katanya yang turut mendapat sorakan dari penonton.
Faizal tampil persembahan bertenaga dengan menyampaikan hampir 30 lagu termasuk lagu hitsnya iaitu Gemuruh, Santai, Syurga, Dirgahayu, Aku Berjanji, Assalamualaikum dan Mahakarya.
Selain lagu Coba, Gravity, Sejati, Teknologia, Kasih Tercipta, Hanyut, Karma dan Bila Lagi Nak Jumpa.
Persembahan Faizal keseluruhannya memang tidak mengecewakan. Namun, ramai penonton yang kecewa kerana ada beberapa lagu hits seperti Ragaman tidak disampaikan pada malam itu.
Ada di antaranya yang berpendapat, Faizal perlu kurangkan bercakap termasuk beri tazkirah atau ceramah ketika konsert sebaliknya lebih fokus pada persembahan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




