am@hmetro.com.my
Ipoh: Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad mengingatkan Pegawai Khas Dewan Undangan Negeri (DUN) supaya menjaga tingkah laku dan mematuhi titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berhubung larangan ahli politik menyampaikan ucapan di masjid dan surau.
Katanya, walaupun memegang jawatan EXCO Agama Islam negeri, beliau tidak berani berucap di mana-mana masjid, apatah lagi Pegawai Khas yang mewakilinya.
“Titah Tuanku (Sultan Nazrin) mesti dipatuhi… walaupun saya sebagai Menteri Besar juga EXCO Agama Islam negeri, saya pun tak berani untuk berucap dalam mana-mana masjid.
“Apapun orang yang mendakwa itu kena buktikan, tak boleh tuduh secara melulu,” katanya selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Penutupan Konvensyen Inovasi Negeri Perak di Stadium Indera Mulia, di sini petang semalam.
Saarani mengulas dakwaan tular yang mengaitkan seorang Pegawai Khas DUN menyampaikan ucapan di sebuah masjid dalam daerah Kerian, sekali gus didakwa melanggar titah Sultan Perak.
Bagaimanapun, beliau tidak pasti kesahihan dakwaan berkenaan dan menegaskan perkara itu perlu dibuktikan terlebih dahulu.
Katanya, pematuhan titah Sultan Perak itu bukan sahaja tertakluk kepada Pegawai Khas DUN, malah kepada jawatankuasa kariah masjid dan surau di bawah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk).
Jawatankuasa masjid dan surau, katanya tidak seharusnya membenarkan mana-mana orang politik menyampaikan ucapan di ruangan utama masjid.
Terdahulu, Pengarah Strategi Pemuda PAS Perak, Nurhafizul Badrul Hisham menerusi hantaran di Facebook menggesa seorang Pegawai Khas Menteri Besar Perak yang juga pemimpin AMANAH direhatkan sementara siasatan dijalankan susulan dakwaan menyampaikan ucapan di sebuah masjid di Kerian.
© New Straits Times Press (M) Bhd




