DAHULU jarang-jarang dapat lihat pelancong mat salih datang ke Betong, Thailand. Namun, sejak kedai Betong Route 410 di Jalan Prachatiphat beroperasi pada 2016, makin ramai pengembara bermotosikal dari Eropah singgah di bandar di wilayah Yala itu.
Memuatkan artikel berkaitan…
“Datuk Bandar pernah beritahu saya, selama berpuluh tahun nak jumpa orang putih datang sangat susah. Dia kata, sejak saya buka kedai ini, orang putih ramai datang mengembara dengan motosikal,” cerita pengasasnya, Abd. Halim Othman yang merupakan anak jati Pulau Pinang kepada saya.
Betong Route 410 menjadi persinggahan terakhir mereka selepas menempuh cabaran Laluan 410 sepanjang kira-kira 160 kilometer dari Pattani yang mempunyai lebih 100 selekoh. Abd. Halim memberitahu, dia pastinya bangga kerana kedainya menjadi ikon Betong.

Undian dalam media sosial menyenaraikan Betong Route 410 pada kedudukan 10 teratas pilihan pengunjung ke Betong sepanjang tempoh 2024 hingga 2025. Kata Abd. Halim, data daripada Pejabat Datuk Bandar Betong mendapati sebanyak sejuta pengunjung singgah di kedainya pada 2024.
Daripada pengamatan saya sendiri, majoriti pengunjung ke Betong Route 410 merupakan geng motosikal dari Malaysia. Pelbagai kapasiti enjin tidak kiralah kapcai, skuter atau superbike, semua mereka menjadikan kedai itu sebagai pusat sehenti.
Bukan setakat beli cenderahati, banyak maklumat mengenai Betong ada. Nak beli kad SIM, insurans perjalanan atau sewa motosikal dan tuk-tuk juga boleh buat di situ.
Bagi pengembara motosikal, memiliki atau memakai produk bercirikan laluan bernombor di Thailand menjadi satu kebangaan buat mereka. Ia juga sebagai bukti bahawa mereka berjaya menamatkan laluan mencabar atau laluan ikonik sesebuah tempat.

Di Thailand, lebuh raya dilabelkan mengikut nombor bagi setiap wilayah. Laluan 1 (Route 1) menghala utara dari Bangkok hingga Chiang Rai seterusnya sempadan Myanmar. Laluan 2 menuju timur laut dari Saraburi hingga Laos.
Laluan 3 pula menghala timur dan tenggara melalui Pattaya, Rayuong, Chanthaburi dan sempadan Kemboja. Laluan 4 menuju selatan hingga sempadan Malaysia dan melibatkan jarak terpanjang di Thailand.
Kedai berkenaan turut menjadi tarikan utama kepada pelancong luar mahupun tempatan, seolah-olah tidak lengkap kunjungan ke Betong jika tidak bawa pulang kemeja-T, magnet peti sejuk, pelekat dan macam-macam lagi. Apatah lagi harganya mampu milik.

Saya yang mengunjungi bandar tersebut baru-baru ini pun ‘terjebak’ sama membeli. Pelbagai reka bentuk cenderahati menarik serta unik yang dipamerkan membuatkan hati saya rasa terkilan jika tidak bawa pulang oleh-oleh keluaran Betong Route 410.
Menurut Abd. Halim, idea membuka kedai berkenaan tercetus berikutan minatnya mengembara dengan motosikal ke luar negara semasa muda dahulu. Katanya, kalau 20 tahun lalu, selalunya kedai Hard Rock Cafe menjadi pilihan untuk membeli cenderahati.

Namun, disebabkan harga agak mahal, maka tidak banyak boleh dibeli membuatkan tidak semua ahli keluarga atau kawan dapat oleh-oleh. Maka dia pun terfikir, ditambah rakan-rakan rapatnya termasuk dari England mencadangkan buka sebuah kedai cenderahati.
Pada mulanya dia berhasrat mahu buka di Malaysia tapi hobi permotoran pada waktu itu belum berkembang seperti sekarang. Kebetulan dia terjumpa dengan seorang rakan kongsi dari Betong yang banyak membantunya dari segi dokumentasi seperti pendaftaran dan lesen perniagaan pihak berkuasa tempatan.
Maka pada 29 April 2016 pukul 4 petang, bermulalah operasi Betong Route 410. Isteri Abd. Halim dan anak-anak turut membantu menguruskan kedai. Malah seorang anaknya juga terlibat mereka bentuk cenderahati.
“Awal-awal berniaga dulu saya sasar tempoh dua tahun untuk berjaya, kalau tidak saya anggap buang masa saja.
“Tidak disangka-sangka, dalam enam bulan saja ‘meletup’ (dapat sambutan). Asal satu lot kedai sekarang sudah dua lot,” ujarnya.

Namun, untuk sampai ke tahap sekarang, dia terpaksa mengorbankan hobi mengumpul koleksi jam tangan berjenama. Berpuluh-puluh utas dijualnya untuk dijadikan modal perniagaan.
Ditanya pengalaman tidak dilupakan sepanjang berniaga, Abd. Halim berkata, ia berlaku pada musim haji tahun lepas. Ada seorang jemaah haji memakai baju Betong Route 410.
Jemaah tersebut kemudian memuat turun ke dalam media sosial mengajak orang lain yang ada baju keluaran sama berkumpul selepas Isyak. Tidak disangka-sangka, sebanyak 11 orang berhimpun sambil memakai baju Betong Route 410 di depan Kaabah.
Mereka datang dari Malaysia, Brunei, Singapura, Thailand dan dua mat salih.
“Masa tengok gambar mereka dalam media sosial dari sini, air mata saya menitis. Tak dapat nak gambarkan bagaimana perasaan saya ketika itu,” jelasnya.




