Melaka tutup sekolah jika IPU cecah 200

Melaka tutup sekolah jika IPU cecah 200

am@hmetro.com.my

Melaka: Semua sekolah di Melaka akan ditutup sekiranya bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) mencecah paras 200.

EXCO Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman, berkata ketika ini bacaan IPU di negeri itu masih pada paras 172.

Beliau berkata, pemantauan kualiti udara akan terus dilakukan dari semasa ke semasa bagi memastikan keselamatan dan kesihatan murid tidak terjejas akibat keadaan jerebu.

“Berdasarkan bacaan pagi ini setakat ini IPU masih belum melebihi 200. Kalau melebihi paras itu, kita akan tutup sekolah,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Rahmad yang juga penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Molek berkata, langkah berkenaan selaras arahan Kementerian Pendidikan (KPM) supaya sekolah di kawasan atau daerah yang merekodkan bacaan IPU pada tahap sangat tidak sihat ditutup serta-merta.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai, khususnya golongan berisiko dan pelajar, supaya mengambil langkah berjaga-jaga dengan memperbanyakkan minum air serta mengurangkan aktiviti di luar.

Katanya, pelajar turut digalakkan memakai pelitup muka sebagai langkah berjaga-jaga bagi mengurangkan risiko terdedah kepada kesan jerebu, namun pemakaiannya tidak diwajibkan.

“Seandainya penutupan sekolah perlu dilaksanakan, pengumuman mengenainya akan dibuat melalui media dan saluran rasmi kerajaan,” katanya.

Terdahulu, semua sekolah di Johor ditutup dua hari bermula hari ini susulan keadaan jerebu dan kemerosotan kualiti udara di seluruh negeri itu.

Keputusan berkenaan dibuat atas titah Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail sebagai langkah berjaga-jaga demi keselamatan dan kesihatan murid.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top