bhbiz@nstp.com.my
Kuala Lumpur: LSH Capital mengemukakan beberapa cadangan projek infrastruktur kepada Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS), dengan nilai keseluruhan peluang berkenaan dianggarkan beberapa bilion ringgit, tertakluk kepada kelulusan kerajaan.
Pengerusi LSH Capital, Tan Sri Lim Keng Cheng berkata, kerajaan dijangka lebih bergantung kepada sektor swasta untuk melaksanakan projek infrastruktur, khususnya dalam keadaan perbelanjaan fiskal kerajaan perlu diurus dengan berhemah.
Katanya, model kerjasama awam-swasta (PPP) membolehkan sektor swasta mengumpul pembiayaan, membina dan mengendalikan aset sebelum menyerahkannya kepada kerajaan pada akhir tempoh konsesi.
“Untuk tempoh tiga tahun akan datang, saya menjangkakan kerajaan akan bergantung kepada belanjawan fiskal yang menggalakkan pemain swasta seperti kami untuk mengemukakan cadangan melalui PPP.
“PPP adalah cara ke hadapan untuk kerajaan menggerakkan aktiviti ekonomi. Kita tidak boleh bergantung setiap masa kepada perbelanjaan terus kerajaan.
“Melalui PPP, pihak seperti kami boleh mengumpulkan dana untuk membina dan mengendalikan projek, mengutip hasil, dan selepas itu kerajaan mendapat manfaat daripada infrastruktur itu,” katanya pada sidang media sempena majlis perpindahan penyenaraian LSH Capital daripada Pasaran ACE ke Pasaran Utama Bursa Malaysia Securities Bhd, hari ini.
Dalam pada itu, Keng Cheng berkata, LSH Capital sudah menerima kelulusan prinsip bagi projek Bandar Malaysia-Seri Kembangan Expressway (BSE), selain beberapa lagi cadangan projek yang sedang diterokai.
Menurutnya, LSH Capital turut agresif membida projek infrastruktur di Sabah dan Sarawak, selaras dengan usaha kumpulan memperluas peluang dalam sektor berkenaan.
Bagi Menara Kuala Lumpur, beliau berkata LSH Capital menjangka pembangunan KL Tower Square boleh dimulakan pada suku pertama 2027, tertakluk kepada kelulusan pihak berkuasa tempatan.
Katanya, cadangan itu membabitkan pembangunan ruang awam di kawasan berhampiran Menara Kuala Lumpur, termasuk air pancut dan ruang untuk pengunjung bergambar, bagi meningkatkan daya tarikan pelancongan kawasan berkenaan.
Tambahnya, LSH Capital akan terus mengurus tekanan peningkatan kos bahan mentah dan buruh menerusi pengurusan risiko, penggunaan semula peralatan serta penggunaan Sistem Binaan Berindustri (IBS) bagi mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja.
LSH Capital meliputi sebahagian besar rantaian nilai pembinaan, termasuk pembekalan bahan dan peralatan, penyediaan kepakaran kejuruteraan, pembinaan, pembangunan hartanah sendiri serta pengendalian aset seperti Menara Kuala Lumpur.
Mengenai perpindahan penyenaraian ke Pasaran Utama, Keng Cheng menyifatkannya sebagai satu pencapaian penting bagi kumpulan, dengan perniagaan pembinaan kekal sebagai teras utama LSH Capital.
Saham LSH Capital semalam dibuka premium tiga sen atau 1.71 peratus lebih tinggi pada RM1.78, berbanding harga rujukan RM1.75 pada hari pertama dagangan di Pasaran Utama.
LSH Capital sebelum ini berpindah daripada Pasaran LEAP ke Pasaran ACE pada 21 Mac 2025, seterusnya seterusnya ke Pasaran Utama kira-kira 18 bulan kemudian dan memulakan dagangan sahamnya semalam.
Keng Cheng berkata, kumpulan itu menyasarkan untuk mencapai permodalan pasaran RM10 bilion, dengan perancangan asal dalam tempoh 10 tahun berdasarkan formula pertumbuhan yang pernah digunakan sebelum ini.
“Sebelum ini berjaya mencapai permodalan pasaran RM1 bilion dalam tempoh empat tahun, lebih awal berbanding sasaran 10 tahun yang ditetapkan. Namun kali ini menggunakan formula yang sama, sepatutnya kami boleh mencapainya sebelum tempoh lima tahun,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Keng Cheng berkata LSH Capital mahu meneroka idea mewujudkan sistem kereta kabel yang menghubungkan Menara Kuala Lumpur dengan beberapa lokasi tarikan pelancongan dan warisan di sekitar ibu negara.
Beliau berkata, idea berkenaan adalah hasratnya bagi menghubungkan lokasi tarikan pelancong sekali gus meningkatkan pengalaman pengunjung di Kuala Lumpur.
Katanya, cadangan sistem kereta kabel itu belum lagi sebahagian daripada cadangan tender asal yang dikemukakan LSH Capital dan masih memerlukan pertimbangan pihak berkaitan, menunjukkan idea itu masih di peringkat aspirasi dan belum menjadi projek pembangunan yang disahkan.
“Bagaimanapun, kami berharap kerajaan dapat mempertimbangkannya. Apabila orang datang ke Kuala Lumpur, semuanya telah lengkap dan mereka boleh menikmati pemandangan latar langit bandar,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




