nurul_husna@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Belanjawan 2027 turut melihat komitmen kerajaan untuk melindungi rakyat menerusi undang-undang termasuk dalam keselamatan dan kesejahteraan kanak-kanak.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah itu dilakukan menerusi penggubalan Akta Antibuli dan Akta Keselamatan Dalam Talian.
“Selain itu, peranan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM), Pesuruhjaya Kanak-Kanak diperkukuh serta perlindungan kepada pemberi maklumat dan saksi.
“Undang-undang jenayah dan keterangan akan diperbaharui, manakala pembelaan awam diperkukuh membabitkan mangsa, kanak-kanak dan golongan rentan yang diberi perlindungan lebih berkesan,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, kerajaan akan mengkaji penubuhan Suruhanjaya Reformasi Undang- Undang Malaysia bagi mengenal pasti undang-undang lapuk dan jurang perundangan.
Sebelum ini, media melaporkan kerajaan sedang meneliti cadangan penubuhan Suruhanjaya Reformasi Undang-Undang sebagai mekanisme tetap, khusus dan berstruktur.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman dilaporkan berkata, suruhanjaya itu berperanan mengkaji undang-undang negara serta mengemukakan syor pembaharuan secara sistematik.
Beliau berkata, langkah itu penting bagi memastikan reformasi undang-undang dilaksanakan secara berterusan, bebas dan berasaskan bukti.
© New Straits Times Press (M) Bhd




