Larian Kasih Fun Run 2.0 ditunda susulan jerebu

Larian Kasih Fun Run 2.0 ditunda susulan jerebu

SHAH ALAM – Larian Kasih Fun Run 2.0 yang dijadual berlangsung di Dataran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pada 11 Oktober ditangguhkan susulan keadaan jerebu yang menjejaskan kualiti udara ketika ini.

Penangguhan program anjuran Yayasan Kebajikan Negara (YKN) dengan kerjasama SinarPlus itu dibuat bagi mengutamakan kesihatan dan keselamatan peserta, petugas, sukarelawan serta orang ramai yang terlibat.

Ketua Pegawai Eksekutif YKN, Nordina Haron berkata, keputusan berkenaan turut mengambil kira saranan melalui pengumuman penangguhan sambutan Hari Sukan Negara oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

“Tarikh baharu acara itu akan diteliti terlebih dahulu bagi mengelakkan pertindihan dengan program lain, termasuk mengambil kira pengumuman berkaitan Belanjawan 2027.

“Program ini bukan dibatalkan, sebaliknya hanya ditangguhkan. Kita akan melihat tarikh baharu yang sesuai dan memaklumkannya kepada orang ramai dalam masa terdekat,” katanya ketika ditemu bual SinarPlus pada Jumaat.

Menurutnya, beliau memahami kekecewaan peserta yang sudah membuat persiapan untuk menyertai acara berkenaan, namun faktor kesihatan perlu diberikan keutamaan, terutama apabila program berkenaan melibatkan keluarga dan orang kurang upaya (OKU).

Beliau berkata, pihak YKN dan urus setia sudah bersedia untuk menganjurkan acara berkenaan, namun keadaan jerebu yang semakin serius tidak boleh dipandang ringan.

“Matlamat kita adalah untuk menggalakkan gaya hidup sihat dan mengeratkan hubungan kekeluargaan. Jadi, kita perlu memastikan keselamatan semua pihak terpelihara.

“Saya berharap peserta terus memberikan sokongan apabila tarikh baharu Larian Kasih Fun Run 2.0 diumumkan kelak,” katanya.

Dalam pada itu, Nordina menghargai kerjasama SinarPlus yang memasuki tahun kedua penganjuran bersama, sekali gus menyifatkan acara berkenaan sebagai platform menyatukan keluarga, rakan-rakan dan komuniti OKU menerusi aktiviti riadah.

Mengulas mengenai program lain di bawah YKN, beliau berkata, program Kaunseling Kasih YKN akan diteruskan seperti biasa, khususnya aktiviti dalam ruang tertutup yang tidak terjejas oleh keadaan jerebu.

Orang ramai yang ingin mendapatkan khidmat kaunseling boleh menghubungi YKN menerusi talian 012-396 1599 untuk membuat janji temu atau mengikuti pengumuman lokasi program dari semasa ke semasa.

Scroll to Top