am@hmetro.com.my
FOTO Ihsan KLSSF
Kuala Lumpur: Petrosains bersama Dewan Filharmonik PETRONAS merasmikan Kuala Lumpur Seni dan STEM Festival 2026 (KLSSF) di Menara Berkembar Petronas (KLCC) Esplanade, baru-baru ini.
Festival yang berlangsung selama tiga hari itu dianjurkan sebagai platform untuk menyatukan seni, warisan serta sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM).
Ia juga dalam usaha memupuk pembelajaran, kreativiti dan inovasi dalam kalangan masyarakat.
Timbalan Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Samuel Lee Thai Hung berkata, KLSSF menjadi festival tumpuan kerana keunikan gabungan antara seni dan STEM.
“LSSF kini semakin mendapat tempat sebagai antara festival awam ikonik Kuala Lumpur yang menghimpunkan seni, warisan dan STEM dalam satu pengalaman yang mencerminkan identiti budaya negara serta aspirasi kita ke arah masa depan lebih progresif.
“Festival ini membuktikan bahawa apabila pelbagai organisasi bersatu dengan matlamat yang sama, kita mampu menyemarakkan budaya ingin tahu, meraikan kreativiti dan menampilkan yang terbaik berkenaan Malaysia kepada masyarakat serta dunia,” katanya ketika melancarkan KLSSF berkenaan.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Petrosains, Ezarisma Azni Mohamad berkata, festival berkenaan membuka ruang kepada masyarakat meneroka sains dalam suasana yang kreatif, inklusif dan dekat dengan kehidupan harian.
“Melalui gabungan STEM, seni dan warisan budaya, kami mahu generasi muda memahami bahawa inovasi bukan sekadar teknologi.
“Ketika kecerdasan buatan (AI) adalah sebahagian daripada kehidupan seharian, rakyat Malaysia khususnya golongan muda perlu diberikan peluang untuk memahami, mengalami dan meneroka teknologi ini dalam cara yang lebih mudah difahami serta bermakna,” katanya.
Turut hadir ketika majlis pelancaran, Ketua Pegawai Eksekutif Dewan Filharmonik PETRONAS, Siti Azlina Abdul Latif.
© New Straits Times Press (M) Bhd




