Belanjawan 2027: MCMC terajui usaha perkukuh ekosistem digital negara

Belanjawan 2027: MCMC terajui usaha perkukuh ekosistem digital negara

mukhriz.husin@bh.com.my

Kuala Lumpur: Inisiatif kerajaan memperkukuh infrastruktur digital menerusi pelaksanaan pelbagai program di bawah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) satu komitmen yang dinantikan rakyat secara keseluruhan.

Belanjawan 2027 dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat, hari ini menyaksikan inisiatif kerajaan menerusi pelaburan RM5 bilion memperkukuh ketersambungan internet di seluruh negara menerusi projek Jalinan Digital Negara Kedua (JENDELA), termasuk memperluas liputan 4G ke semua kampung Orang Asli tahun depan.

Anwar yang juga Menteri Kewangan, berkata usaha itu merangkumi penyediaan capaian internet di sepanjang 7,000 kilometer jalan raya dan 1,700 kilometer laluan rel kereta api, selain pelaksanaan Kabel Dasar Laut MADANI (SALAM).

“Pelaksanaan inisiatif JENDELA setakat ini berjaya menyediakan liputan Wi-Fi di semua kampus universiti awam serta rangkaian 4G di semua penempatan FELDA,” katanya dalam pembentangan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Pencapaian itu selari dengan komitmen MCMC sebelum ini dalam melaksanakan pelbagai inisiatif strategik yang diumumkan di bawah Belanjawan 2026 termasuk inisiatif SALAM yang membabitkan peruntukan sebanyak RM2 bilion.

Selain itu, ia turut membabitkan pembinaan kabel dasar laut sepanjang 3,190 km dari Johor ke Sabah dan Sarawak bagi memperkukuh kesalinghubungan dan capaian Internet negara.

Usaha peluasan jalur lebar pula dilaksanakan menerusi inisiatif projek JENDELA 2 ke 2,700 lokasi baharu khususnya di kawasan luar bandar dan pedalaman.

MCMC juga akan meneruskan pelaksanaan sistem Sistem Rekod Perubatan Elektronik (EMR) di fasiliti Kementerian Kesihatan (KKM) seluruh negara menerusi inisiatif PERSADA, dengan pelaburan sebanyak RM1bilion.

Inisiatif ini akan meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan kesihatan kepada rakyat.

Dalam perkembangan berkaitan, Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambun berkata, kerajaan terus memperhebat peranan Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) dengan peruntukan RM142 juta bagi menggalakkan lebih ramai usahawan muda memanfaatkan platform digital untuk mengembangkan perniagaan.

Menurut beliau, keberkesanan platform itu dapat dilihat menerusi kejayaan pengusaha kopi dari Kampung Sungai Leman, Selangor, Azmi Warisan, yang meningkatkan hasil jualan sehingga 80 peratus atau RM240,000 selepas memanfaatkan inisiatif berkenaan.

Sementara itu, pembentangan Belanjawan 2027 turut menyaksikan komitmen MCMC dalam meneruskan pelaburan RM1 bilion bagi mempergiat pelaksanaan projek Sistem Rekod Perubatan Elektronik di fasiliti kesihatan seluruh negara, sekali gus menyokong usaha pendigitalan sektor kesihatan.

Dalam pada itu, kerajaan juga memperuntukkan sebanyak RM6 bilion bagi memperhebat aktiviti penyelidikan, pembangunan dan pengkomersialan ciptaan merentas kementerian, selain memperkukuh pembangunan kecerdasan buatan (AI) dan kemahiran digital rakyat.

Anwar berkata, susulan sambutan menggalakkan terhadap tawaran langganan AI percuma kepada golongan muda, kerajaan turut menambah 100,000 lagi langganan percuma, termasuk akses kepada aplikasi AI baharu seperti ChatGPT.

“Platform Rakyat Digital juga menyediakan akses kepada kursus digital secara percuma, hasil kerjasama bersama Coursera, untuk mengikuti lebih 16,000 kursus dan program Sijil Profesional daripada universiti dan organisasi industri terkemuka dunia,” katanya.

Inisiatif berkenaan mencerminkan usaha kerajaan untuk menjadikan infrastruktur digital, AI dan pembangunan kemahiran sebagai pemacu utama pertumbuhan ekonomi, selain memastikan manfaat pendigitalan dapat dinikmati secara lebih meluas oleh rakyat.

Pelaburan dalam infrastruktur rangkaian, khususnya di kawasan luar bandar dan pedalaman, penting bagi merapatkan jurang digital antara penduduk bandar dengan komuniti yang masih berdepan kekangan capaian internet berkualiti.

Anwar berkata, kerajaan turut merancang pembangunan Sovereign AI Cloud bagi memastikan data rakyat dan maklumat strategik negara kekal di bawah kawalan negara.

Menurutnya, AI Malaysia Berhad menerima hampir RM15 juta bagi memperkukuh ekosistem AI negara, selain menyokong usaha mencapai sasaran melahirkan 200,000 tenaga mahir dalam industri berkenaan.

“Dana Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) RM30 juta akan membantu 4,000 Perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) menerapkan AI dan mengautomasi operasi.

“Program ini turut melatih dan memperakui 5,000 profesional AI,” katanya.

MCMC turut menyekat lebih 5.7 bilion panggilan dan SMS yang berunsurkan penipuan.

Selain daripada itu, MCMC turut menyekat lebih 5.7 bilion panggilan dan khidmat pesanan ringkas (SMS) berunsur penipuan.

Bagi mengesan penipu dan penjenayah siber lebih awal, Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC) akan membangunkan aplikasi berasaskan AI yang membolehkan orang ramai menyemak nombor telefon, akaun bank atau pautan mencurigakan sebelum melakukan sebarang transaksi.

Dalam perkembangan berkaitan, Bahagian D11 Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang memperkasakan sistem Malaysia Internet Crime Against Children (MICAC) yang dilengkapi keupayaan analitik lanjutan bagi mengesan pelaku serta rangkaian eksploitasi seksual kanak-kanak pada peringkat awal.

Usaha itu dijangka memperkukuh keupayaan pihak berkuasa mengesan kegiatan jenayah berkenaan dan mengambil tindakan lebih awal bagi melindungi kanak-kanak daripada ancaman eksploitasi seksual dalam talian.

Belanjawan 2027 memperuntukkan sebanyak RM459.8 bilion, merangkumi RM376.8 bilion bagi perbelanjaan mengurus dan RM83 bilion untuk perbelanjaan pembangunan.

Secara keseluruhannya, pendekatan kerajaan menerusi Belanjawan MADANI kelima itu mencerminkan komitmen untuk memperkukuh ekosistem digital negara melalui gabungan pelaburan infrastruktur, sokongan kepada perniagaan dan pembangunan bakat tempatan.

Kejayaan pelaksanaannya kelak akan menjadi antara faktor penting dalam memastikan transformasi digital bukan sahaja memacu pertumbuhan ekonomi, malah membawa manfaat nyata kepada rakyat dan meningkatkan daya tahan negara menghadapi perubahan teknologi.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top