am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Kerajaan digesa memperkenalkan had siling komisen peniaga pada kadar tidak melebihi 20 peratus, merangkumi segala caj sampingan bagi mengurangkan beban kos perkhidmatan platform digital yang ditanggung pengusaha perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
Presiden Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (SAMENTA), Datuk William Ng, berkata kadar komisen yang dikenakan pengendali platform penghantaran ketika ini boleh mencecah sehingga 32 peratus bagi setiap transaksi, tidak termasuk kos promosi, pakej pengiklanan dan pelbagai fi perkhidmatan lain.
Beliau berkata, langkah itu penting bagi memastikan manfaat inisiatif kebajikan Belanjawan 2027 untuk pekerja gig tidak dipindahkan kepada peniaga PMKS, khususnya pengusaha makanan dan kedai runcit kecil yang menjadi rakan niaga utama platform berkenaan.
“Sehubungan itu, SAMENTA menggesa pihak kerajaan agar memperkenalkan had siling komisen peniaga pada kadar tidak melebihi 20 peratus, merangkumi segala caj sampingan.
“Pengendali platform digital diharap tidak memindahkan kos operasi atau inisiatif kebajikan pekerja gig kepada peniaga melalui pengenalan struktur komisen baharu mahupun yuran penyenaraian tersembunyi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi pembentangan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat mengumumkan peruntukan sekitar RM160 juta menerusi inisiatif pakej bersama kerajaan dan Grab bagi membantu kebajikan pekerja gig, khususnya pemandu e-hailing dan penghantar p-hailing.
William berkata, inisiatif bantuan bagi menambah baik pendapatan pemandu dan penghantar gig itu disifatkan sebagai langkah kebajikan yang bagus dalam membantu golongan berkenaan.
“Namun demikian, penambahbaikan kebajikan ini sewajarnya tidak dialihkan bebannya ke atas bahu peniaga PMKS.
“Majoriti rakan niaga di platform penghantaran terdiri daripada pengusaha makanan dan kedai runcit kecil,” katanya.
Menurut beliau, belanjawan kali ini memberi tumpuan bermakna terhadap cabaran yang sering ditekankan oleh pihaknya, termasuk menerusi pengurangan kadar cukai pendapatan PMKS, pengecualian bersasar pelaksanaan gaji minimum, payung pembiayaan dan jaminan bernilai RM57 bilion, dana pengkomersialan inovasi serta perlindungan undang-undang terhadap persaingan e-dagang rentas sempadan.
“Samenta menzahirkan rasa syukur dan kelegaan atas keprihatinan Kerajaan MADANI yang mengurangkan kadar cukai pendapatan PMKS sebanyak satu mata peratusan, iaitu kepada 14 peratus bagi RM150,000 pertama dan 16 peratus bagi banjaran pendapatan bercukai RM150,001 hingga RM600,000.
“Penjimatan tunai langsung sehingga RM6,000 kepada lebih 300,000 PMKS ini merupakan suntikan kecairan modal yang amat bererti untuk dilaburkan semula ke dalam operasi perniagaan,” katanya.
William turut menyokong usaha kerajaan membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) E-Dagang bagi mengawal selia penjual dalam talian dari luar negara, sekali gus mewujudkan persaingan lebih adil kepada peniaga tempatan.
Katanya, perusahaan tempatan ketika ini berdepan persaingan tidak setara akibat lambakan barangan import murah yang didakwa tidak sentiasa memenuhi piawaian kualiti, keselamatan pengguna dan keperluan pematuhan cukai domestik.
“Penguatkuasaan undang-undang ini amat mustahak bagi melindungi kelangsungan peniaga tempatan dan menjamin keselamatan pengguna.
“Selain itu, kami mengalu-alukan kemudahan pinjaman dan jaminan pembiayaan yang ditingkatkan kepada RM57 bilion, berpaksikan kapasiti jaminan RM32 bilion oleh Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP) dan Credit Guarantee Corporation Malaysia Berhad (CGC) yang membuka akses kredit lebih luas kepada perusahaan tanpa cagaran fizikal yang besar,” katanya.
Menurut beliau, peruntukan RM30 juta di bawah Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) bagi membimbing 4,000 PMKS mengadaptasi kecerdasan buatan (AI) dan automasi disifatkan mampu mempercepat transformasi teknologi sektor berkenaan.
“Sementara itu, peruntukan RM60 juta kepada Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) serta dana pembiayaan eksport RM1 bilion oleh Bank Pembangunan Malaysia Berhad (BPMB) hadir tepat pada masanya untuk menyokong PMKS meluaskan sayap perdagangan ke peringkat serantau dan antarabangsa.
“SAMENTA sentiasa bersedia untuk terus bekerjasama dengan kerajaan dan agensi berkaitan bagi memastikan inisiatif belanjawan ini diterjemahkan kepada limpahan kemakmuran yang nyata buat sektor PMKS Malaysia,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




