Belanjawan 2027: PDRM sambut baik peruntukan RM22 bilion untuk KDN

Belanjawan 2027: PDRM sambut baik peruntukan RM22 bilion untuk KDN

hafidzul@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyambut baik peruntukan RM22 bilion kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) menerusi Belanjawan 2027 bagi memperkukuh keselamatan negara dan kebajikan warga pasukan.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Khalid Ismail berkata, peruntukan itu turut merangkumi RM7.1 bilion bagi pembelian dan penyelenggaraan aset pasukan keselamatan, termasuk PDRM serta badan beruniform di bawah KDN.

Beliau berkata, pembinaan Kompleks Batalion 19 Pasukan Gerakan Am (PGA) di Cheras serta tiga balai polis baharu turut disambut baik kerana dapat meningkatkan kesiapsiagaan operasi pasukan.

“PDRM mengalu-alukan pengumuman pembinaan Kompleks Batalion 19 Pasukan Gerakan Am (PGA) di Cheras serta tiga buah balai polis baharu di Sungai Rambai, Melaka; Tanjung Malim, Perak; dan Batu Lintang, Sri Aman, Sarawak.

“Inisiatif ini akan memperkukuh infrastruktur pasukan, meningkatkan kesiapsiagaan operasi dan menyokong penyampaian perkhidmatan kepolisan yang lebih cekap,” katanya dalam kenyataan hari ini.

PDRM turut menyambut baik peruntukan RM1.1 bilion bagi memperhebat keupayaan operasi badan penguat kuasa dalam mendepani cabaran keselamatan dan jenayah yang semakin kompleks.

Mengulas ancaman jenayah digital, Mohd Khalid berkata, pembangunan aplikasi kecerdasan buatan (AI) oleh Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC) serta pemerkasaan sistem Malaysia Internet Crime Against Children mampu memperkukuh usaha membanteras jenayah berkenaan.

“Inisiatif ini akan memperkukuh pendekatan pencegahan, pengesanan awal dan tindakan penguatkuasaan, khususnya dalam membendung penipuan dalam talian serta melindungi kanak-kanak daripada ancaman eksploitasi seksual,” katanya.

Dalam pada itu, PDRM menghargai peruntukan RM2.3 bilion bagi pembinaan dan penyelenggaraan kuarters penjawat awam, termasuk kuarters polis, demi meningkatkan kebajikan anggota serta keluarga mereka.

Mohd Khalid turut menyambut baik Bantuan Khas Kewangan RM1,500 kepada 1.3 juta penjawat awam Gred Utama B dan ke bawah, termasuk lantikan kontrak, serta RM750 kepada lebih sejuta pesara kerajaan, termasuk veteran berpencen dan tidak berpencen.

“Pemberian ini adalah satu bentuk pengiktirafan terhadap sumbangan dan pengorbanan warga perkhidmatan awam, di samping membantu meringankan beban sara hidup mereka,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan turut menambah baik faedah Ex-Gratia Waris Pukal kepada maksimum RM50,000 bagi kematian akibat kemalangan bencana kerja, selain meningkatkan kadar pencen terendah kepada RM1,350 sebulan.

Penambahbaikan lain termasuk kenaikan pangkat secara khas untuk penyandang (KUP) kepada 12,000 pegawai kumpulan pengurusan dan profesional, tertakluk kepada syarat ditetapkan, serta penambahbaikan kelayakan cuti bersalin, kemudahan penjagaan anak di fasiliti kerajaan dan kenaikan kadar elaun sukarelawan polis.

Katanya, PDRM akan memastikan setiap peruntukan dimanfaatkan secara optimum bagi meningkatkan keupayaan pasukan dan mutu perkhidmatan kepada rakyat.

“Sebagai institusi yang diamanahkan untuk memelihara keamanan dan ketenteraman awam, PDRM akan terus melaksanakan tanggungjawab dengan penuh dedikasi, profesionalisme dan integriti bagi memastikan keselamatan negara sentiasa terpelihara,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top