am@hmetro.com.my
Kumpulan Koir Universiti Teknologi Mara (UCC) sekali lagi membuktikan kemampuan mereka di peringkat antarabangsa selepas meraih keputusan cemerlang di 3rd Magdeburg International Choir Festival di Jerman, baru-baru ini.
UCC yang kini berada di tangga ke-20 daripada 1,000 pasukan koir terbaik dunia dinobatkan sebagai Juara Kategori G2 (Koir Belia) bersama Diploma Emas Tahap VIII, Juara Kategori Suara Sama (Wanita) bersama Diploma Emas Tahap VIII dan Diploma Emas Tahap IX bagi kategori Muzik Budaya Rakyat.
Kumpulan yang terdiri daripada 25 pelajar Fakulti Muzik UiTM Shah Alam itu turut menerima anugerah berprestij Persembahan Koir Terbaik dan Paling Cemerlang di festival berkenaan.
Dekan Fakulti Muzik UiTM Shah Alam, Profesor Dr Tazul Izan Tajuddin mengakui bangga dengan keputusan yang diraih penuntut fakultinya.
“Keputusan yang diraih di bumi Jerman ini adalah hasil penat lelah serta pengorbanan yang diperbuat pelajar sebagai persiapan untuk ke sini.
“Saya sangat gembira dan bangga dengan mereka (UCC),” katanya kepada Harian Metro.
Dr Tazul juga berkata, pihak fakulti berharap UCC akan terus membawa nama UiTM dan Malaysia di pentas antarabangsa.
“Ini tahun ke-11 kami menyertai pertandingan peringkat antarabangsa dan saya berharap UCC akan terus menyertai kejohanan bertaraf antarabangsa dan membawa pulang keputusan yang memberangsangkan,” katanya.
Sementara itu, pensyarah yang juga pengurus pasukan UCC, Maryann Magdalena Linnis berkata, banyak cabaran yang perlu dihadapi mereka sepasukan seperti kewangan, tempoh latihan serta kesihatan pelajarnya.
“Tempoh latihan bagi pertandingan ini sangat singkat, kurang daripada setahun kami berlatih 15 lagu untuk kejohanan ini.
“Selain itu, keadaan pelajar ketika latihan dan sebelum berangkat ke Jerman di mana ada daripada mereka yang dalam keadaan yang tidak sihat.
“Tapi cabaran terbesar bagi kami sepasukan adalah kewangan. Kami berlatih tanpa ada kata putus sama ada kewangan mencukupi untuk kami datang ke Jerman.
“Namun, dengan bantuan daripada pihak fakulti, masalah ini dapat diselesaikan dan saya berterima kasih kepada mereka,” katanya.
Terbaru, UCC turut berangkat ke Berlin untuk percubaan memecah rekod dunia, 125 jam koir dan ke Vienna, Austria untuk membuat persembahan di Kedutaan Besar Malaysia, di sana.
© New Straits Times Press (M) Bhd




