mdroji@bh.com.my
Kuching : Bantuan Khas Kewangan sebanyak RM1,500 kepada penjawat awam dan RM750 kepada pesara kerajaan serta veteran dijangka membantu meringankan tekanan kos sara hidup, khususnya dalam menampung perbelanjaan keperluan harian, pendidikan anak-anak dan komitmen keluarga, selain merangsang perbelanjaan domestik.
Penjawat awam, Joshua Amir Sibat berkata, ini kerana berdasarkan Laporan Penyiasatan Perbelanjaan Isi Rumah 2024 oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), purata perbelanjaan penggunaan isi rumah meningkat daripada RM5,150 pada 2022 kepada RM5,566 pada 2024 iaitu kenaikan kira-kira 8.1 peratus dalam tempoh dua tahun.
“Perkembangan itu menggambarkan keperluan sokongan kewangan bagi membantu isi rumah menyesuaikan perbelanjaan ketika berdepan peningkatan kos sara hidup.
“Dari sudut ekonomi, bantuan berkenaan berpotensi merangsang penggunaan domestik apabila sebahagian wang dibelanjakan untuk barangan dan perkhidmatan, sekali gus menyokong aktiviti perniagaan setempat,” katanya.
Sehubungan itu katanya, bantuan sekali bayar berkenaan perlu dilihat sebagai pelengkap kepada langkah lebih menyeluruh untuk memelihara kuasa beli, meningkatkan produktiviti dan memperkukuh kesejahteraan rakyat.
“Nilai bantuan bukan hanya terletak pada jumlah diterima, tetapi juga keupayaannya membantu penerima memenuhi keperluan mendesak tanpa mengabaikan perancangan kewangan jangka panjang.
Sementara itu, pesara tentera, Azhar Ishak, 56, menyifatkan peningkatan Bantuan Khas Kewangan (BKK) kepada RM750 pada 2027 sebagai perkembangan positif yang dapat membantu meringankan beban pesara.
Beliau berkata, bantuan itu meningkat sebanyak 200 peratus berbanding RM250 yang diterima pada 2026.
Katanya, peningkatan berkenaan sedikit sebanyak membantu pesara menampung perbelanjaan harian, terutama ketika berdepan peningkatan kos sara hidup.
“Alhamdulillah, bantuan ini meningkat 200 peratus. Sekurang-kurangnya, ia dapat meringankan beban kami sebagai pesara,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




