am@hmetro.com.my
Gua Musang: Kemalangan maut di Kilometer 52 Jalan Gua Musang-Kuala Krai yang mengorbankan ibu dan bayinya berpunca daripada sebuah Perodua Myvi berwarna merah yang masuk laluan bertentangan.
Kereta itu yang dipandu dari arah Kuala Krai menghala ke Gua Musang terbabas ke laluan bertentangan sebaik tiba di lokasi.
Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 petang itu membabitkan tiga buah Produa Myvi yang berwarna merah, jingga dan putih serta sebuah motosikal.
Mangsa Maslina Md Shafie, 33, dan bayinya, Medina El Zahra Muhammad Zulfadhli dua bulan yang menaiki kenderaan jenis Perodua Myvi berwarna putih maut dilokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berpunca daripada sebuah Perodua Myvi berwarna merah yang dipandu dari arah Kuala Krai menghala ke Gua Musang terbabas ke laluan bertentangan sebaik tiba di lokasi kejadian.
Katanya, kenderaan terbabit kemudian melanggar bahagian sisi belakang kanan sebuah Perodua Myvi berwarna jingga yang datang dari arah bertentangan sebelum bertembung dengan sebuah lagi Perodua Myvi berwarna putih.
“Pada masa yang sama, sebuah motosikal jenis SYM yang berada di belakang Myvi putih itu tidak sempat mengelak lalu melanggar bahagian belakang kenderaan terbabit sebelum penunggangnya tercampak ke atas jalan.
“Akibat pertembungan itu, dua orang penumpang Perodua Myvi berwarna putih disahkan maut di lokasi kejadian. Mangsa-mangsa lain yang terbabit dibawa ke Hospital Gua Musang untuk rawatan lanjut.
“Bagaimanapun, pemandu dan penumpang Myvi berwarna jingga tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.
Beliau berkata, kedua-dua mangsa yang maut dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Gua Musang bagi bedah siasat.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu atau berbahaya sehingga menyebabkan kematian.
Siasatan lanjut masih diteruskan bagi mengenal pasti punca sebenar kemalangan.
“Orang ramai yang menyaksikan kejadian atau mempunyai maklumat diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Aida di Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Gua Musang melalui talian 09-912 1222,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




