PKSK Tingkatan 1 di Melaka mengikut jadual, tidak ditangguhkan

PKSK Tingkatan 1 di Melaka mengikut jadual, tidak ditangguhkan

am@hmetro.com.my

Melaka: Maklumat tular yang mendakwa Pentaksiran Kemasukan Sekolah Khusus (PKSK) Tingkatan 1 di Melaka ditangguhkan adalah tidak benar, kata Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman.

Beliau berkata, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Melaka sebaliknya meneruskan PKSK mengikut jadual bermula hari ini sehingga 22 Oktober, dengan tertakluk kepada situasi jerebu semasa serta arahan keselamatan yang berkuat kuasa.

Rahmad berkata, semua calon perlu hadir mengikut tarikh, masa dan pusat pentaksiran yang ditetapkan seperti tertera pada slip menduduki pentaksiran masing-masing.

Katanya, semua 18 pusat PKSK hendaklah memastikan persediaan dan pengoperasian berjalan lancar dengan mengutamakan keselamatan serta kesihatan calon dan petugas.

“Bagaimanapun, sekiranya ibu bapa atau penjaga memilih untuk tidak menghantar calon atas faktor keselamatan dan kesihatan akibat jerebu, pihak pusat PKSK hendaklah menguruskan penjadualan semula pentaksiran,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, JPN Melaka akan memaklumkan sebarang perubahan atau ketetapan baharu berkaitan pelaksanaan pentaksiran itu menerusi saluran rasmi jabatan berkenaan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top