nooratiqah.sulaiman@bh.com.my
Kuala Lumpur: Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) mempunyai kuasa memecat anggota Lembaga Koperasi (ALK), membekukan akaun bank koperasi dan menjalankan siasatan sekiranya berlaku penyelewengan atau salah guna kuasa yang menjejaskan kepentingan anggota.
Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Mohamad Alamin, berkata, tindakan penguatkuasaan itu diperuntukkan di bawah Akta Koperasi 1993 bagi memastikan tadbir urus serta pengurusan koperasi dilaksanakan dengan baik.
“Kita akan menjalankan pemeriksaan mengikut Seksyen 64 Akta 502. Sekiranya perlu kita akan buka kertas siasatan di bawah Seksyen 45 Akta 665.
“Keduanya, kuasa di bawah Seksyen 69(1) Akta 502 iaitu memecat anggota Lembaga Koperasi dan ketiga, menggantung atau memecat daripada mana-mana jawatan anggota Lembaga Koperasi di bawah Seksyen 69 Akta yang sama serta mengenakan kompaun terhadap koperasi juga boleh dilakukan.
“Di bawah SKM, kita ada menyediakan unit penguatkuasa undang-undang dan mereka ada kuasa di bawah Akta ini untuk menjalankan penyiasatan dan membuka kertas penyiasatan,” katanya dalam sesi pertanyaan bagi jawapan lisan di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian kepada soalan tambahan dikemukakan Datuk Adnan Abu Hassan (BN-Kuala Pilah) sama ada tindakan penguatkuasaan boleh diambil oleh SKM sekiranya berlaku penyelewengan, salah guna kuasa atau kelemahan pengurusan oleh ALK sehingga menyebabkan kerugian kepada koperasi dan menjejaskan kepentingan anggotanya.
Mengulas lanjut, Mohamad berkata, SKM juga menjalinkan kerjasama dengan agensi penguat kuasa lain seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.
“Tetapi kadang-kadang ada aduan itu melangkaui bidang kuasa kita, jadi kita jalinkan kerjasama dengan agensi penguatkuasa undang-undang yang lain. Kita juga sudah lakukan dalam kes sebelum ini,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




