austin@nst.com.my
Kajang: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang lelaki yang dipercayai dihanyutkan arus deras di Sungai Chuah di sini, semalam, ditangguhkan petang tadi berikutan hujan lebat.
Mangsa berusia lingkungan 40-an, kali terakhir dilihat memakai baju putih ketika dihanyutkan arus sungai berhampiran Jalan Pasir Emas 2 sebelum hilang.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ashrul Riezal Asbar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 5.23 petang semalam, selepas orang awam melaporkan melihat lelaki berkenaan dihanyutkan arus.
Beliau berkata, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kajang tiba di lokasi enam minit kemudian sebelum memulakan operasi mencari mangsa.
“Usaha pencarian awal tertumpu di sepanjang tebing sungai sebelum operasi diperluaskan dengan bantuan Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dan unit anjing pengesan (K9).
“Seramai tujuh anggota PPDA tiba di lokasi pada jam 6.38 petang, manakala pos kawalan hadapan dibuka pada jam 6.42 petang bagi menyelaras operasi pencarian,” katanya.
Ashrul berkata, anggota penyelamat meneruskan pencarian di sekitar tebing sungai hingga lewat malam tadi, namun mangsa belum ditemui.
Menurutnya, operasi memasuki hari kedua hari ini, dengan anggota penyelamat menggunakan kayak dan bot untuk menyusuri sungai, manakala unit K9 melakukan pencarian di sepanjang tebing.
Katanya operasi diteruskan sepanjang hari, namun terpaksa ditangguhkan pada jam 4.30 petang berikutan hujan lebat di lokasi kejadian.
“Operasi SAR akan disambung semula esok,” katanya.
Beliau berkata, operasi itu membabitkan 23 anggota bomba, lima anggota polis dan dua anggota Bomba Sukarela Malaysia (RBM).
Anggota dari BBP Kajang, Shah Alam dan Pelabuhan Klang, termasuk pasukan penyelamat air serta unit K9, turut digerakkan bagi membantu operasi berkenaan.
Sehingga petang ini, mangsa masih belum ditemukan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




