bhnews@bh.com.my
Putrajaya: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sedang menilai kandungan video tular di media sosial berhubung Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), serta pelepasan cukai pendapatan dalam Belanjawan 2027 yang didakwa mengandungi maklumat palsu dan mengelirukan.
MCMC dalam kenyataan hari ini berkata, pihaknya menerima aduan orang awam berhubung penyebaran video berkenaan sebelum merujuk perkara itu kepada Kementerian Kewangan (MOF) untuk penelitian lanjut.
Katanya, penilaian turut merangkumi konteks penyebaran video berkenaan serta potensi kesannya terhadap masyarakat.
“Tindakan lanjut akan dipertimbangkan sekiranya terdapat pelanggaran undang-undang yang berkuat kuasa, termasuk Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya.
MCMC berkata, penyebaran maklumat sedemikian berpotensi menimbulkan kekeliruan mengenai dasar percukaian negara, mencetuskan kebimbangan tidak berasas serta mempengaruhi keputusan kewangan rakyat berdasarkan maklumat yang salah.
Sehubungan itu, suruhanjaya berkenaan menegaskan bahawa kebebasan bersuara perlu dilaksanakan secara bertanggungjawab dan tidak disalahgunakan untuk menyebarkan maklumat palsu yang boleh menjejaskan kepentingan awam.
MCMC turut menggesa orang ramai supaya menyemak maklumat berkaitan Belanjawan 2027 menerusi saluran rasmi bagi memastikan kesahihan maklumat sebelum mempercayai atau menyebarkannya.
Antara saluran yang disediakan ialah portal rasmi Belanjawan Kementerian Kewangan di www.belanjawan.mof.gov.my, portal Sebenarnya.my serta chatbot AIFA menerusi WhatsApp di talian 03-8688 7997.
© New Straits Times Press (M) Bhd




