5 rakyat Malaysia disyaki pergi Jepun untuk melancong

5 rakyat Malaysia disyaki pergi Jepun untuk melancong

PETALING JAYA: Lima rakyat Malaysia ditahan pihak berkuasa Kastam Jepun di Lapangan Terbang Antarabangsa Haneda, Tokyo, pada 10 Oktober lalu atas dakwaan menyeludup dadah kokain lima kilogram (kg) disyaki berada di negara itu untuk melancong.

Mereka terdiri daripada dua lelaki dan tiga wanita berusia antara 19 hingga 26 tahun dengan lima daripada mereka berasal dari Sarawak.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, hasil semakan rekod perjalanan mendapati enam warga Malaysia berlepas bersama dari Terminal 2 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Lapangan Terbang Haneda pada 9 Oktober lalu.

Memuatkan artikel berkaitan…

Pada 10 Oktober 2026, lima daripada mereka ditahan pihak berkuasa Jepun, manakala seorang lagi tidak ditahan dan telah pulang ke Malaysia.

Jelasnya, pihaknya turut mengenal pasti kesemua suspek yang ditahan, termasuk individu yang telah pulang ke Malaysia.

“Semakan mendapati kesemua mereka tidak mempunyai rekod jenayah lampau,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Susulan penahanan itu, katanya, JSJN akan menghantar pasukan siasatan ke Jepun bagi menjalankan siasatan serta mendapatkan maklumat berhubung penahanan berkenaan termasuk mengenai rangkaian sindiket dadah di Malaysia dan antarabangsa.

“Pihak berkuasa Jepun kini menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca bekalan dadah diperoleh termasuk ahli sindiket yang terlibat serta rangkaian penyeludupan dadah antarabangsa,” jelasnya.

Dalam pada itu, Hussein menasihati orang ramai supaya berwaspada terhadap pelawaan untuk bercuti, khususnya jika diminta membawa beg atau barangan milik orang lain ke luar negara.

“Orang ramai turut diingatkan supaya tidak menerima atau membawa barangan yang tidak diketahui kandungannya bagi mengelakkan diri daripada dipergunakan sebagai keldai dadah.

“JSJN menegaskan komitmennya untuk memerangi  dadah demi melindungi generasi masa kini dan akan datang, sambil menyifatkan dadah sebagai musuh nombor satu negara,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan dadah boleh menghubungi Hotline JSJN di talian 012-208 7222. –UTUSAN

Scroll to Top