nooratiqah.sulaiman@bh.com.my
Kuala Lumpur: Kerajaan diminta membatalkan syarat simpanan minimum RM15,000 kepada jemaah haji sebelum dibenarkan menunaikan ibadah itu kerana ia membebankan golongan berpendapatan rendah.
Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man (PN- Kubang Kerian) berkata, syarat berkenaan perlu diteliti semula bagi memastikan TH terus berperanan memudahkan umat Islam menunaikan haji, bukannya menambah beban kewangan mereka.
“Umumnya rakyat kita, orang Islam di Malaysia ini pergi haji berdua. Kalau dua orang makna RM30,000 kena ada dalam akaun yang tak boleh disentuh sampai mereka pergi haji.
“Jumlah itu bagi orang kampung ini satu jumlah yang sangat besar. Kalau dah kita senarai mereka dapat pergi haji, mereka sudah tahu untuk sediakan duit.
“Untuk masukkan jumlah RM30,000 dalam akaun baru dapat pergi haji, saya nak tanya, apa mekanisme dibuat? Apakah ini simpanan atau pelaburan? Sebab TH guna duit simpanan ini sebagai pelaburan.
“Kalau pelaburan, keuntungan mesti dikembalikan kepada penyimpan. Saya harapkan dapat dibatalkan dan cari mekanisme lain. Jangan menyusahkan rakyat dan mereka yang dah ada perancangan untuk pergi haji,” katanya ketika sesi perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2027, di Dewan Rakyat, di sini hari ini.
Sebelum ini TH memaklumkan RM15,000 ditetapkan sebagai simpanan minimum bagi menentukan kesiapsiagaan kewangan pendeposit.
Syarat itu terpakai kepada pendeposit yang mahu mendapatkan atau mengekalkan kelayakan giliran haji tanpa pengecualian khusus berdasarkan umur, kumpulan pendapatan atau tempoh menunggu.
Ia termasuk warga emas, golongan B40 dan pendeposit yang sudah lama mendaftar, dengan pendeposit sedia ada diberi tempoh peralihan sehingga 31 Disember 2028 untuk mencapai jumlah minimum berkenaan.
Dalam pada itu, Tuan Ibrahim memaklumkan alasan untuk meletakkan jumlah berkenaan dalam akaun supaya dapat mengurangkan risiko jemaah haji menolak tawaran disifatkan tidak munasabah.
“Mana ada orang nak tolak kalau dapat peluang pergi haji. Tapi kalau kerajaan letak syarat RM15,000 kena simpan, kita sering kali disebut bahawa kalau tak mampu, tak ada istitha’ah, tak wajib pergi haji.
“Istitha’ah ini ada dua, satu istitha’ah ikhtiyariyyah, satu istitha’ah idhtirariyyah. Ikhtiyariyyah ini kalau kerajaan menyusahkan rakyat untuk pergi haji. Itu bermakna bebanan yang dibebankan kepada rakyat yang sepatutnya boleh pergi haji, tiba-tiba tak boleh pergi haji.
“Istitha’ah ikhtiyariyyah ini TH cari jalan macam mana untuk memudahkan jemaah pergi haji, bukan menambahkan bebanan kepada jemaah untuk tak boleh pergi haji,” katanya.
Tambahnya, TH diwujudkan untuk memudahkan umat Islam untuk pergi haji namun sebaliknya berlaku.
“Hari ini sudah jadi entiti perniagaan dan beban dikembali pada jemaah pada mereka nak pergi haji. Saya fikir apa yang dicadangkan diberi perhatian kali ini supaya rancangan berkenaan dapat dibatalkan dan cari mekanisme lain yang tidak membebankan umat Islam, rakyat yang nak pergi haji,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




