Penjual buah maut, gerai dirempuh lori balak

Penjual buah maut, gerai dirempuh lori balak

am@hmetro.com.my

Sandakan: Penjual buah maut apabila gerai perniagaannya di tepi jalan dirempuh lori treler membawa muatan kayu balak dalam kejadian di Batu 27, di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 pagi itu, wanita berusia 50 tahun itu dilaporkan meninggal dunia akibat kecederaan parah ketika menerima rawatan di Klinik Kesihatan Ulu Dusun dalam kejadian kira-kira jam 8.30 pagi tadi.

Seorang lagi mangsa iaitu wanita berusia 31 tahun turut dilaporkan cedera parah akibat tersepit dalam lori kargo, manakala tiga mangsa termasuk seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun terselamat.

Setakat ini, identiti kesemua mangsa belum diperoleh.

Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner George Abd Rakman berkata, kemalangan itu membabitkan tiga kenderaan iaitu sebuah treler membawa muatan kayu balak, lori kargo 10 tan dan sebuah kereta.

Katanya, polis sedang melakukan siasatan lanjut untuk mengenal pasti punca sebenar kemalangan.

“Punca sebenar kemalangan masih lagi dalam siasatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sandakan, Jimmy Lagung, berkata pihaknya menerima panggilan berkenaan kemalangan itu pada jam 8.24 pagi sebelum menghantar tujuh anggota ke lokasi kejadian.

Katanya, pasukannya tiba di lokasi pada jam 9.04 pagi dan membantu mengeluarkan mangsa yang tersepit di dalam lori kargo.

“Mangsa yang cedera diberikan rawatan awal sebelum diserahkan kepada pasukan perubatan yang berada di lokasi dan dihantar ke Hospital Beluran oleh Perkhidmatan Penyelamatan Perubatan Kecemasan (EMRS) dan ambulans,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top