Pelajar UEC gagal BM masih boleh belajar percuma di universiti Sarawak

Pelajar UEC gagal BM masih boleh belajar percuma di universiti Sarawak

Kegagalan dalam subjek Bahasa Melayu (BM) tidak menghalang pemegang Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) daripada melanjutkan pengajian di empat universiti milik Sarawak, termasuk menikmati manfaat Skim Pendidikan Tinggi Percuma (FTES).

Menurut laporan Malaysiakini, Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Dr Annuar Rapaee berkata, penguasaan atau kelulusan BM bukan syarat wajib bagi kemasukan ke universiti berkenaan mahupun kelayakan menerima pembiayaan menerusi skim itu.

Menurutnya, dasar berkenaan terpakai kepada pemegang UEC yang memenuhi syarat kemasukan universiti serta mengikuti program pengajian yang disenaraikan di bawah FTES.

“Persoalan ini sangat penting kerana ia membezakan dasar yang kita laksanakan di Sarawak – sama ada Bahasa Melayu menjadi prasyarat penting untuk memasuki empat universiti kita atau turut menjadi kriteria penting bagi pelajar UEC untuk layak menerima pendidikan tinggi percuma.
“Yang Berhormat, jawapannya tidak. Bahasa Melayu tidak diperlukan untuk mereka layak memasuki universiti kita atau menerima pendidikan tinggi percuma,” katanya ketika sesi soal jawab lisan semalam.

Foto arkib: The Borneo Post

Annuar menjelaskan, pemegang UEC masih perlu memenuhi kriteria akademik yang ditetapkan, termasuk memperoleh sekurang-kurangnya lima gred B pada peringkat menengah atas dalam peperiksaan berkenaan.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nangka berkata, calon yang memenuhi syarat kemasukan dan memilih satu daripada 64 kursus yang diliputi FTES layak menerima manfaat skim itu secara automatik.

Empat institusi dalam sistem pendidikan tinggi Sarawak ialah Universiti Teknologi Sarawak (UTS) di Sibu, Curtin University Malaysia di Miri, Swinburne University of Technology Kampus Sarawak serta i-CATS University College di Kuching.

FTES yang dilancarkan tahun ini menanggung yuran pengajian bagi pelajar ijazah sarjana muda yang memenuhi kelayakan dan mengikuti 64 program pengajian terpilih.

Dalam pada itu, Annuar membandingkan dasar berkenaan dengan pendekatan yang digunakan di peringkat persekutuan, khususnya berkaitan syarat bahasa untuk kemasukan ke universit ambil menegaskan peluang pendidikan tinggi di Sarawak terbuka kepada pemegang UEC yang layak.

“Dasar ini menunjukkan perbezaan yang sangat ketara berbanding pendekatan yang diguna pakai di tempat lain.
“Jadi, saya berharap ini menjadi mesej yang sangat jelas kepada seluruh rakyat Sarawak, khususnya pemegang UEC bahawa anda tidak berbeza berbanding orang lain.
“Selagi anda layak memasuki empat universiti itu, anda secara automatik layak menerima FTES,” ujarnya.

Bagaimanapun, beliau mengingatkan pemegang UEC supaya memberikan perhatian kepada penguasaan bahasa Inggeris kerana bahasa itu digunakan sebagai bahasa pengantar di keempat-empat universiti berkenaan.

Sumber: Malaysiakini

Scroll to Top