am@hmetro.com.my
Kota Bharu: Seorang ibu reda dengan keputusan mahkamah hari ini, yang menjatuhkan hukuman penjara terhadap pasangan kekasih yang didapati bersalah membunuh anak lelakinya, empat tahun lalu.
Namun dia mengakui pemergian anaknya itu meninggalkan kekosongan yang tidak mungkin dapat diganti.
Samiah Mohamad, 63, berkata, Muhamad Fahmi Adli Mat, 24, yang juga anak bongsu daripada lima beradik sebelum ini turut menjadi pembantu setianya dalam mengusahakan perniagaan makanan di Selising, Pasir Puteh.
“Dialah yang membantu saya berniaga. Anak-anak lain mempunyai tanggungjawab masing-masing, tetapi dia sentiasa ada untuk membantu saya,” katanya.
Terdahulu Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, menjatuhkan hukuman penjara lapan tahun terhadap Maizatul Shima Abdullah, 25, manakala teman lelakinya, Muhammad Za’im Syakir Sha’ari, 24, dihukum penjara tujuh tahun selepas kedua-duanya didapati bersalah menyebabkan kematian Fahmi di Kampung Gondang, Ketereh, di sini, pada 2022.
Hukuman itu berkuat kuasa dari tarikh mereka masing-masing ditangkap.
Mahkamah turut memerintahkan kedua-dua tertuduh membayar pampasan RM2,500 setiap seorang kepada keluarga mangsa mengikut Seksyen 425A Kanun Tatacara Jenayah.
Mereka akan berdepan hukuman penjara tambahan selama enam bulan setiap seorang sekiranya gagal membayar pampasan berkenaan.
Samiah berkata, Muhamad Fahmi yang masih bujang turut membantu menjaga bapa yang menghidap penyakit kencing manis, sebelum suaminya itu meninggal dunia dua tahun lalu.
Menurutnya keluarganya tinggal sekampung dengan keluarga pasangan terbabit, sekali gus menjadikan tragedi itu lebih sukar dilupakan.
Wanita itu berkata, menerima keputusan mahkamah hari ini tidak bermakna kesedihan akibat kehilangan anaknya itu sudah terubat.
Mengikut pertuduhan, Maizatul Shima dan Muhammad Za’im Syakir didakwa secara bersama menyebabkan kematian Muhamad Fahmi di sebuah tanah perkuburan Islam lama di Kampung Gondang, antara jam 10 malam pada 14 Mei 2022 hingga jam 1 pagi keesokan harinya.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan, dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan denda.
© New Straits Times Press (M) Bhd




