Keluarga tertuduh sedia ambil tindakan undang-undang terhadap kenyataan tidak wajar

Keluarga tertuduh sedia ambil tindakan undang-undang terhadap kenyataan tidak wajar

BATU PAHAT: Peguam kepada remaja yang didakwa membunuh Irene Sofiya Mohd. Khairool Faisal, 16, akan mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang mengeluarkan kenyataan tidak wajar berhubung kes berkenaan.

Mohd. Azlan Shah Mohd. Allias berkata, tertuduh baharu didakwa di mahkamah, dan belum dibuktikan bersalah.

“Saya sampaikan hasrat pihak keluarga kepada orang ramai, supaya kes ini tidak diberikan keterangan yang bukan-bukan dalam mana-mana platform media sosial.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Saya percaya, kita sebagai rakyat Malaysia ada undang-undang dan prinsip bahawa seseorang individu tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah, ini perlu kita fahami. Setakat hari ini, tiada apa-apa hukuman dijatuhkan mahkamah, prosiding masih berjalan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas selesai prosiding pertuduhan seorang remaja lelaki berusia 16 tahun yang didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan di Mahkamah Majistret Batu Pahat, di sini hari ini.

Tambah Mohd. Azlan Shah, pihaknya juga telah menasihati keluarga tertuduh untuk mengambil tindakan undang-undang melibatkan perkara ini.

“Setakat ini tiada tindakan undang-undang berhubung perkara itu diambil, tetapi kami telah kesan beberapa komen di media sosial, ada individu yang mengaitkan kes ini dengan macam-macam cerita,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Johor, Datuk Ab. Rahaman Arsad berkata, tertuduh telah didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 97 Akta Kanak-Kanak 2001 memandangkan tertuduh merupakan seorang kanak-kanak semasa kesalahan dilakukan.-UTUSAN

Scroll to Top