Rakan sekelas dituduh bunuh Irene Sofiya

Rakan sekelas dituduh bunuh Irene Sofiya

am@hmetro.com.my

Batu Pahat: Pelajar lelaki Tingkatan Empat dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan membunuh Irene Sofiya Mohd Khairool Faisal, 16, awal bulan ini.

Tertuduh berusia 16 tahun yang juga rakan sekelas Irene Sofiya, hanya mengangguk sebaik tuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Mustaqim Sukarno.

Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh ketika prosiding yang dijalankan secara tertutup kerana kes bunuh adalah di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, pelajar itu didakwa melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian ke atas Irene Sofiya di dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato’ Seth, Yong Peng, antara jam 2.30 dan 4.00 petang, 3 Oktober lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau pemenjaraan bagi tempoh tidak kurang 30 tahun atau tidak melebihi 40 tahun, sekiranya tidak dijatuhi hukuman mati, serta sebatan tidak kurang 12 kali.

Pada prosiding itu, pihak pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya, Juanita Mohd Said dan Firdaus Ruslan manakala tertuduh diwakili Suhaila Shafi’uddin dan Mohd Azlan Shah Mohd Allias.

Terdahulu, pendakwaan memohon mahkamah menetapkan tarikh baharu sebutan kes kerana belum menerima laporan bedah siasat dan forensik patologi daripada pihak hospital.

Mahkamah yang tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh, membenarkan permohonan pihak pendakwaan dan menetapkan kes disebut semula pada 22 Disember ini.

Tertuduh tiba di mahkamah pada jam 7 pagi dengan dikawal pasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Khas (D9), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat.

Sejurus pertuduhan selesai, tertuduh dibawa keluar oleh polis melalui pintu belakang.

Allahyarham Irene Sofiya ditemukan terbaring dalam dewan sekolah dengan kesan darah kering pada badannya selain lebam seolah-olah dipukul.

Berikutan kejadian itu, polis melakukan beberapa siri rampasan dan penemuan barang kes di sekitar Yong Peng, termasuk sebatang besi sepanjang kira-kira 96 sentimeter yang dipercayai digunakan untuk memukul mangsa.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top