PETALING JAYA: Beregu wanita No. 1 negara, Pearly Tan-M. Thinaah menempah slot ke suku akhir selepas menewaskan wakil Hong Kong, Yeung Nga Ting-Yeung Pui Lam pada pusingan kedua Kejohanan Badminton Terbuka Denmark di Obaekvej, Denmark, hari ini.
Gandingan No. 5 dunia itu yang mendapat bye di pusingan pertama memerlukan tempoh 44 minit untuk mengetepikan beregu ke-19 dunia tersebut 21-12, 21-19.
Memuatkan artikel berkaitan…
Kemenangan yang dicatat Pearly-Thinaah membolehkan mereka melebarkan rekod pertemuan ke atas Nga Ting-Pui Lam kepada 3-0.
Pada suku akhir, esok, Pearly-Thinaah bakal menghitung pertemuan dengan pasangan yang menghuni ranking No. 18 dunia, Treesa Jolly-Gayatri Gopichand Pullela.
Pilihan kedua itu memiliki kelebihan psikologi jika rekod pertemuan 7-2 menjadi ukuran, tetapi, dalam masa sama mereka perlu berwaspada berdepan gandingan India itu yang memiliki potensi mencipta kejutan.
Sementara itu, pertembungan dua beregu lelaki Malaysia berkesudahan pasangan No. 6 dunia, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Mohd Rumsani mengalahkan Chia Wei Jie-Teo Ee Yi 21-18, 21-11 dalam masa 27 minit.
Sze Fei-Izzuddin kini mendahului Wei Jie-Ee Yi dengan rekod pertemuan 2-0.
Pada suku akhir, beregu profesional tersebut akan menentang gandingan No. 2 dunia, Liang Wei Keng-Wang Chang.
Bekas pasangan No. 1 dunia itu tidak memiliki rekod baik bertemu beregu China tersebut selepas mengalami empat kekalahan dan satu-satunya kemenangan Sze Fei-Izzuddin ke atas Wei Kang-Wang Chang dicatat mereka pada Terbuka Arctic, dua tahun lalu.
Dalam pada itu, untuk aksi beregu campuran, Chen Tang Jie-Chan Wan Tse gagal melepasi halangan pusingan kedua, selepas tewas dalam pertarungan sengit kepada pasangan No. 6 dunia, Guo Xin Wa-Chen Fang Hui dari China 23-21, 18-21, 20-22 dalam masa 1 jam 5 minit. – UTUSAN




