am@hmetro.com.my
Dungun: Pasukan bomba menggunakan helikopter untuk membawa turun pendaki wanita yang tidak sedarkan diri ketika melakukan aktiviti pendakian di kawasan Air Terjun Langsir Chemerong, dekat sini, hari ini.
Mangsa, Lim Kah Wah, 48, dari Bayan Lepas, Pulau Pinang, dilaporkan tidak sedarkan diri ketika berada kira-kira sembilan kilometer dari kaki Gunung Berembun.
Komander Operasi l, Pegawai Bomba Kanan Satu (PBK1) Ishak Abd Aziz berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 11.22 pagi.
Menurutnya, mangsa dikatakan menyertai pendakian bersama 31 pendaki lain dengan dibantu lima malim.
“Sepasukan anggota bomba bergegas ke tempat kejadian dan mendapati jarak untuk sampai ke puncak gunung dengan berjalan kaki mengambil masa kira-kira 15 jam.
“Anggota pasukan STORM sudah digerakkan ke lokasi untuk membantu operasi mencari dan menyelamat (SAR) melalui laluan darat, ” katanya.
Ishak berkata, pasukan bomba terpaksa mendapatkan bantuan dari Unit Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), dengan helikopter AW139 dari Pangkalan Udara Wilayah Utara (PUWU) kemudian digerakkan bagi membawa mangsa turun.
“Kita menggunakan teknik winch-out. Mangsa berjaya dikeluarkan dari lokasi kejadian dan dibawa dengan helikopter serta mendarat di padang Sekolah Menengah Sains Dungun, ” katanya.
Menurutnya, mangsa kemudian dikejarkan dengan ambulans ke hospital Dungun untuk rawatan lanjut.
© New Straits Times Press (M) Bhd




