Koperal polis parah ditetak parang ketika kejar suspek dadah

Koperal polis parah ditetak parang ketika kejar suspek dadah

news@nst.com.my

Tanah Merah: Seorang koperal polis parah selepas ditetak dengan parang oleh seorang lelaki yang disyaki terbabit dalam kegiatan dadah ketika cuba melarikan diri semasa operasi antidadah di Kampung Lalang Pepuyu di sini, hari ini.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, anggota berusia 37 tahun itu mengalami keretakan pada tangan kiri dalam kejadian jam 1.35 tengah hari itu dan sedang menerima rawatan di Hospital Tanah Merah.

Beliau berkata, kejadian berlaku ketika sepasukan anggota daripada Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan, dengan bantuan anggota dari Balai Polis Bukit Bunga dan Balai Polis Lalang Pepuyu, menyerbu sebuah rumah di kampung itu.

“Suspek lelaki tempatan berusia 30-an cuba melarikan diri sambil memegang sebilah parang.

“Anggota mengejar suspek, namun lelaki itu bertindak agresif dengan melibas parang ke arah anggota polis sehingga mencederakan seorang daripada mereka sebelum berjaya ditahan,” katanya.

Mohd Yusoff berkata, polis merampas sebilah parang berukuran kira-kira 35 sentimeter, pil disyaki yaba dengan anggaran berat 0.1 gram serta sebotol cecair dipercayai air ketum.

“Semakan mendapati suspek mempunyai enam rekod kesalahan lampau berkaitan dadah dan kes disiasat mengikut Seksyen 307 dan Seksyen 324 Kanun Keseksaan masing-masing kerana cubaan membunuh dan dengan sengaja menyebabkan kecederaan menggunakan senjata berbahaya.

“Suspek turut disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 30(3) Akta Racun 1952,” katanya.

Yusoff berkata, suspek akan dibawa ke mahkamah bagi mendapatkan perintah reman untuk membantu siasatan lanjut.

Beliau berkata, tangkapan itu dilakukan menerusi Ops Tapis Bersepadu Sempadan yang dilaksanakan JSJN Kelantan bersama Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik di empat daerah, iaitu Pasir Mas, Tumpat, Tanah Merah dan Jeli.

“Operasi bertujuan membendung kegiatan penyeludupan dan pengedaran dadah di sempadan Malaysia-Thailand,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top