Bekas Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay mendedahkan beliau pernah menjadi subjek siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) susulan dakwaan pengubahan wang haram yang dikaitkan dengan rangkaian restoran bistro.
Pernah didakwa terlibat aktiviti cuci duit
Memetik laporan daripada Malaysia Gazette, Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) itu menyatakan, pergerakannya dipantau selama seminggu bagi menyiasat dakwaan berkenaan, namun rutin hariannya didapati hanya berkisar antara rumah, pejabat dan kedai mamak.
“Dia orang kata Datuk Ayob, dia buat money laundering. Dia buka restoran ada 45 cawangan. Jadi, SPRM siasatlah,” katanya.
Beliau berkongsi pengalaman itu ketika menjadi panelis pada Konvensyen Mawlid Perdana 6.0 di Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), hari ini.

Seloroh rutin hariannya setiap hari sama
Menurut Ayob Khan lagi, pergerakannya diperhatikan sejak keluar dari rumah sekitar pukul 6.30 pagi sebelum tiba di pejabat kira-kira pukul 7 pagi.
Pada waktu tengah hari, beliau akan keluar makan di kedai mamak sebelum kembali bekerja, manakala sebelah petang diisi dengan aktiviti riadah sebelum pulang ke rumah sekitar pukul 9 malam.
Walau bagaimanapun, beliau secara berseloroh berkata pemantauan selama seminggu itu seolah-olah tidak membuahkan hasil kerana rutin hariannya hanya tertumpu pada tiga lokasi utama.
”Seminggu, tok (merujuk kepada moderator). Bererti SPRM ikut pun tak guna Datuk Ayob ni. Rumah, pejabat, rumah, pejabat, kedai mamak,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Ayob Khan turut mengingatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati dengan kegiatan penipuan dalam talian yang semakin membimbangkan.
Beliau menegaskan orang ramai tidak seharusnya mudah mempercayai panggilan telefon daripada individu yang menyamar sebagai pegawai polis atau pihak berkuasa untuk mendakwa mangsa terbabit dalam sesuatu kesalahan.
Ujarnya, polis tidak sewenang-wenangnya menggunakan panggilan telefon sedemikian untuk mengendalikan urusan siasatan seperti yang sering didakwa oleh penipu.
Beliau turut mendedahkan bahawa individu berjawatan tinggi, termasuk pegawai polis berpangkat superintenden, juga boleh menjadi mangsa sindiket penipuan.
“Dengan sekali klik sahaja, habis semua duit kita,” katanya sambil mengingatkan orang ramai agar tidak sewenang-wenangnya berkongsi maklumat peribadi atau nombor telefon dengan pihak tidak dikenali.
Ayob Khan turut menekankan kepentingan menggunakan media sosial dan teknologi kecerdasan buatan (AI) secara bertanggungjawab serta mengelakkan penyebaran fitnah dan maklumat tidak sahih yang boleh menjejaskan reputasi orang lain.
Sumber: Malaysia Gazette (Mohd Zaini Samsu Hadi)




