Tehran: Kor Pengawal Revolusi Iran (IRGC) berkata sebuah kapal tangki minyak terbakar di Selat Hormuz selepas terkena periuk api, dalam kes terbaharu seumpamanya sejak Tehran memperketat kawalan di laluan itu.
Iran menguasai Selat Hormuz selepas perang dengan Amerika Syarikat (AS) dan Israel tercetus pada akhir Februari, sekali gus menyekat laluan perkapalan penting yang lazimnya membawa kira-kira 20 peratus bekalan minyak dunia.
Republik Islam itu menuntut semua kapal mendapatkan kebenarannya sebelum melalui selat berkenaan.
“Sebuah kapal tangki minyak telah melanggar periuk api laut di selatan Selat Hormuz, mengakibatkan letupan dan kebakaran di bilik enjinnya,” lapor media kerajaan Iran yang memetik kenyataan IRGC.
Menurut kenyataan itu, kapal tangki berkenaan melalui ‘laluan selatan yang tidak dibenarkan’ di selat itu dan telah mematikan sistem penentu kedudukan serta navigasi.
Kemalangan itu berlaku sehari selepas IRGC memaklumkan dua kapal tangki minyak terbakar di selat berkenaan, kedua-duanya selepas terkena periuk api.
Komander Tentera Laut IRGC, Laksamana Ali Ozmaei, memberi amaran minggu ini bahawa mana-mana kapal yang mematikan sistem navigasi akan dianggap sebagai ‘musuh’.
AS mengenakan sekatan laut balas terhadap eksport minyak Iran sebagai tindak balas terhadap sekatan yang dilaksanakan Tehran di laluan perairan itu.
Iran pula menggesa AS menerima cadangannya bagi membuka semula Selat Hormuz, sambil menegaskan tawaran yang dikemukakan kepada Washington sebelum ini masih terbuka.
Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi berkata, cadangan itu dikemukakan kepada AS pada pertengahan September selepas gencatan senjata sementara gagal dipertahankan.
Tehran kemudian mengakui menerima maklum balas daripada Washington, namun Setiausaha Majlis Keselamatan Negara Tertinggi Iran minggu lalu berkata rundingan kini menemui jalan buntu.
Ini berikutan AS belum memberikan maklum balas terhadap kesemua tujuh syarat yang ditetapkan bagi membuka semula selat berkenaan.
“Pendirian kami jelas dan berdasarkan cadangan tujuh hari yang dikemukakan kepada Amerika Syarikat.
“Mereka telah memberikan pandangan yang sedang kami teliti, namun cadangan kami masih terbuka.
“Sekiranya pihak AS benar-benar mempunyai keikhlasan, yang sebenarnya tiada, maka laluan untuk membuka Selat Hormuz sudah jelas,” kata Araghchi.
Beliau berkata demikian ketika berada di Baghdad bagi menghadiri mesyuarat Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).
Antara syarat yang dikemukakan Iran ialah AS perlu menarik balik sekatan terhadap pelabuhan negara itu, membatalkan sekatan ke atas eksport minyak Iran serta menghentikan permusuhan di semua medan konflik di rantau berkenaan.
Menurut Araghchi, sekiranya Washington menerima syarat Tehran, Selat Hormuz akan dibuka semula dalam tempoh enam hari, manakala rundingan antara kedua-dua pihak akan disambung pada hari berikutnya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




