am@hmetro.com.my
Batu Maung: Dua premis tanpa lesen kendalian warga asing di Permatang Damar Laut, di sini, dikenakan tindakan sitaan dalam Op Tegas oleh Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Jumaat lalu.
MBPP dalam kenyataannya memaklumkan operasi itu membabitkan Jabatan Pelesenan dan Jabatan Penguatkuasaannya dengan kerjasama Bahagian Komunikasi Korporat dan Perhubungan Awamnya.
“Op Tegas yang dijalankan 8.30 malam itu dilakukan terhadap premis kedai makanan dan minuman serta kedai gunting rambut yang didapati beroperasi tanpa lesen sah.
“Hasil pemeriksaan mendapati tiga warga asing berada di premis kedai makanan dan minuman, manakala seorang lagi warga asing menguruskan operasi kedai gunting rambut,” katanya dalam kenyataan di Facebook, malam tadi.
Ketika pemeriksaan, keadaan kedai makanan dan minuman juga didapati kotor selain penemuan lipas.
Susulan itu, MBPP memaklumkan tindakan penutupan (sealed-off) terhadap kedua-dua premis serta menyita peralatan perniagaan yang berkaitan dilaksana pihaknya dan ia diarahkan berhenti operasi serta-merta.
Notifikasi pemberitahuan bertulis turut diserah kepada pihak berkaitan dengan arahan supaya tidak membuka atau merosakkan pengedap sitaan, memasuki premis bagi tujuan perniagaan atau meneruskan sebarang aktiviti perniagaan di dalam dan di luar premis.
“Tindakan itu dilaksana berdasarkan Akta Kerajaan Tempatan 1976 yang memperuntukkan kuasa kepada pihak berkuasa tempatan bagi mengambil tindakan untuk menjaga keselamatan, kesihatan dan keselesaan awam.
“MBPP menegaskan bahawa tiada kompromi terhadap aktiviti perniagaan tanpa lesen dan pelanggaran syarat yang ditetapkan.
“Tindakan penguatkuasaan akan terus dipergiat bagi memastikan semua aktiviti perniagaan mematuhi undang-undang, tidak menimbulkan kacau ganggu serta tidak menjejaskan kepentingan awam.
© New Straits Times Press (M) Bhd




