SHAH ALAM – Jawapan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung isu mafia korporat di Dewan Rakyat, termasuk kenyataan bahawa Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R Ramanan telah mengambil tindakan undang-undang, didakwa mengelirukan orang ramai.
Bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli berkata, sehingga kini beliau belum menerima sebarang writ saman daripada Ramanan berhubung dakwaan penerimaan RM9.5 juta daripada ahli perniagaan, Victor Chin, untuk menyelesaikan masalah mafia korporat.
“Jika Anwar merujuk kepada tindakan saman yang bakal diambil oleh R Ramanan, saya mengalu-alukannya dan bersedia membentangkan bukti di mahkamah.
“Tetapi jika Anwar merujuk bahawa tindakan saman telah diambil kerana tuduhan itu hanya ‘satu kenyataan politik yang tidak disertakan bukti’, beliau perlu lebih berhati-hati kerana setakat ini, tiada tindakan saman diambil.
“Kenyataan beliau di Dewan Rakyat pada hari ini boleh diertikan sebagai mengesahkan tindakan saman telah diambil dan itu adalah satu pembohongan di Dewan Rakyat,” katanya menerusi kenyataan pada Selasa.
Anwar ketika sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat membidas Rafizi berhubung isu berkenaan dengan mempersoalkan mengapa perkara itu tidak dibangkitkan ketika beliau masih memegang jawatan dalam kerajaan.
Anwar yang juga Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) menegaskan, tindakan membetulkan sebarang salah laku perlu dilakukan ketika seseorang masih mempunyai kuasa, bukannya hanya bersuara selepas tidak lagi memegang jawatan.
Dalam pada itu Rafizi yang juga bekas Timbalan Presiden PKR berkata, kenyataan Anwar mengenai mafia korporat dan siasatan yang dijalankan juga tidak menyentuh persoalan asas berhubung dakwaan wujudnya kumpulan dalam agensi penguatkuasaan yang bersekongkol dengan ahli perniagaan.
Bekas Ahli Parlimen Pandan itu menegaskan, skandal mafia korporat merujuk kepada pendedahan mengenai kewujudan kumpulan di agensi penguatkuasaan iaitu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Malah menurutnya, tuduhan mengenai mafia korporat adalah luar biasa kerana mempersoalkan sama ada kumpulan jenayah telah menyusupi agensi penguatkuasaan.
“Beliau (Anwar) memberikan jawapan yang berpusing-pusing, seolah-olah ingin mengelirukan orang ramai bahawa kontroversi mafia korporat itu adalah jenayah kolar putih.
“Saya akan terus menjawab beberapa lagi perkara yang disentuh dan tidak disentuh oleh Anwar mengenai mafia korporat, melalui kenyataan media, ceramah dan podcast secara berterusan,” jelasnya.



